Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kuih Tradisional Agar-Agar Kering Masih Digemari

By 15 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Agar-agar kering yang merupakan kuih tradisional kini masih terus digemari dan mendapat tempat di hati masyarakat termasuk golongan muda.

Agar-agar kering yang hadir dalam pelbagai perisa dan warna ini masih menjadi pilihan orang ramai kerana gabungan teksturnya yang kering dan sedikit keras di luar dengan isinya yang kenyal dan lembut memberikan pengalaman mengunyah yang berbeza.

Pengusaha agar-agar kering Badariah Md Noor, 55, berkata perniagaan yang diusahakan bersama keluarganya itu telah bertahan lebih 10 tahun.

Perniagaan yang diusahakan Badariah bersama keluarganya kini telah bertahan lebih 10 tahun.

“Kami menghasilkan agar-agar kering dengan pelbagai pilihan perisa termasuk buah-buahan, sirap ros, durian, pandan serta laici dengan warna yang berbeza antaranya putih, merah, kuning, hijau dan biru.

“Ia tidak susah untuk dihasilkan dan hanya mengambil masa sekitar empat ke lima hari bergantung kepada keadaan cuaca. Rahsia agar-agar yang enak terletak pada pemilihan perisa yang digunakan serta jumlah gula batu atau gula putih yang dimasukkan sebagai bahan utama,” katanya ketika ditemui, di Kampung Sungai Durian, di sini semalam,

Agar-agar kering yang diusahakan Badariah dipasarkan ke beberapa lokasi termasuk stesen minyak Petronas di Pekan Pendang serta Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Gurun.

Proses menjemur agar-agar yang dilakukan secara tradisional.

Selain daripada rasa yang unik, keberkesanan dalam memasarkan produk kepada pelanggan adalah faktor kejayaan perusahaan ini sejak sekian lama.

Badariah turut menyeru anak muda agar mencuba perniagaan kuih tradisional kerana ia tidak hanya relevan, tetapi turut mempunyai penggemar yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Perniagaan kuih tradisional, termasuk agar-agar kering bukan sahaja membawa pulangan yang menguntungkan malah turut membantu memelihara budaya makanan warisan negara,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda