
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Kempen Sifar Plastik 2040 bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pencemaran plastik yang kian membimbangkan mendapat sambutan menggalakan dalam kalangan belia di institusi pengajian tinggi.

Kempen tersebut turut disertai pelajar CENTEXS.
Seramai lebih kurang 200 sukarelawan terdiri daripada pelajar tiga institusi pengajian tinggi tempatan iaitu Kolej SIDMA Sarawak, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Yahos School of Skills saling berganding bahu menjayakan Kempen Zero Plastik 2040 yang berlangsung di Metrocity, Kuching semalam.
Menurut Pengurus ASEZ (Save the Earth from A to Z), Steven Kwon, rakyat Korea Selatan yang menjalankan kerja sukaralewan, kempen ini adalah sebahagian daripada gerakan global yang diterajui oleh pelajar universiti dari seluruh dunia yang komited untuk melindungi alam sekitar.
“Plastik memang bahan penting, tapi jika dibuang secara sembarangan, ia membawa kesan buruk kepada ekosistem dan kehidupan manusia dan melalui program ini, kami ingin mendidik masyarakat tentang kepentingan mengasingkan sisa plastik dan memupuk sikap tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

John (kiri) bersama Steven di Kempen Sifar Plastik 2040.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sarawak John Rampai yang turut hadir pada program tersebut menyuarakan sokongan terhadap usaha pelajar institusi pegajian tinggi bersama persatuan di peringkat global dalam menganjurkan kempen tersebut.
“Ia selari dengan slogan Jabatan Alam Sekitar iaitu Alam Sekitar Adalah Tanggungjawab Bersama yang merentasi pelbagai peringkat umur dan sempadan.
“Peranan para pelajar sangat penting kerana mereka merupakan generasi aktif yang boleh membawa ke arah kelestarian alam tidak kira apa juga peranan kerana mereka adalah pewaris bumi ini samada sebagai pemimpin, individu atau sebagai pihak yang menentukan polisi dan pelaksana,” tambahnya lagi.

Pelbagai jenis sampah berjaya dikumpul di sekitar kawasan Metrocity.
Sementara itu, pelajar CENTEXS, Stephenie Demi berasa gembira dapat menyertai kempen tersebut dan bersama menyumbang tenaga dalam aktiviti pembersihan kawasan serta belajar cara terbaik mengasingkan barangan plastik yang terkumpul.
Program yang berlangsung sekitar tiga jam itu turut melibatkan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan, cara mengasingkan sisa plastik dan sesi pendidikan berkaitan penjagaan alam sekitar.
Kempen ini bukan sahaja mendidik tetapi juga membina semangat kerjasama dan kesedaran kolektif bahawa alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.
-RJ-





