
Laporan/foto: Nadia Abdullah (Kluang)
KLUANG, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Johor muncul sebagai negeri perintis dalam usaha menangani konflik antara manusia dan gajah liar apabila melancarkan Operasi Bersepadu Translokasi Gajah Negeri Johor bermula di daerah Kluang, semalam.

Orang ramai turut teruja menyaksikan gajah di perkarangan dewan Rumah Komuniti Dato’ Onn, Taman Sri Lambak.
Operasi dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia itu bertujuan memindahkan gajah liar ke habitat lebih sesuai, memulihkan keseimbangan ekosistem dan mengurangkan risiko gangguan terhadap kawasan penempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 bagi memastikan kelancaran operasi termasuk aspek logistik, teknikal dan sumber manusia.
“Kita bukan sahaja ingin menyelesaikan isu gangguan gajah, tetapi turut memberi tumpuan kepada pengumpulan data saintifik dan mewujudkan satu model pengurusan konflik hidupan liar yang boleh dicontohi negeri lain,” katanya ketika merasmikan pelancaran operasi di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, di sini.
Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM250,000 kepada Pejabat Daerah Kluang untuk menubuhkan Kumpulan Perlindungan Hidupan Liar di 21 buah kampung yang dikenal pasti sering terjejas, di samping latihan dan peralatan yang disediakan oleh Perhilitan.

Anak gajah yang dijadikan simbolik perasmian operasi bersepadu semalam.
“Kita mahu komuniti luar bandar dilibatkan secara aktif dalam pengurusan konservasi dan penduduk bukan sahaja menjadi penerima bantuan, tetapi turut diberi keupayaan untuk bertindak, mencegah dan melindungi diri mereka secara berkesan,” katanya.
Penduduk kampung yang terlibat akan dilatih untuk menjadi barisan hadapan dalam menangani situasi kehadiran gajah liar, selari dengan pendekatan komuniti berdaya tahan dalam pengurusan konflik hidupan liar.
Pelaksanaan operasi berkenaan menjadikan Johor negeri pertama memulakan langkah sistematik secara besar-besaran dalam menangani konflik hidupan liar di Semenanjung Malaysia, sekali gus mencerminkan pendekatan bersepadu antara kerajaan negeri, agensi teknikal dan masyarakat akar umbi.
-RI





