
Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah
BACHOK, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Pantai Tapang yang dahulunya dikenali sebagai Pantai Kubang Golok kini dibuka kepada umum dan menjadi pemangkin transformasi ekonomi serta pelancongan Bachok.
Pantai ini muncul sebagai destinasi ekopelancongan baharu yang mengetengahkan keindahan alam dan kemudahan moden, seiring aspirasi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pembangunan pelancongan Islamik di Kelantan.

Gerai jualan yang diusahakan oleh penduduk tempatan bagi meningkatkan ekonomi setempat.
Antara tarikan disediakan termasuk tapak perkhemahan, chalet, kolam renang, dewan pelbagai guna dan aktiviti kayak yang sesuai untuk semua peringkat usia dan latar belakang.
Kemudahan itu menjadikan Pantai Tapang sebagai pusat sehenti pelancongan yang memberi manfaat berganda kepada pelancong serta menjana peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, khususnya golongan belia.
Petugas pengurusan pantai Aiman Hakim, 27, berkata lokasi berkenaan menjadi model pelancongan berasaskan nilai Islam yang membawa impak ekonomi secara langsung kepada masyarakat.
“Kami mahu penduduk mendapat manfaat melalui peluang pekerjaan dan latihan kemahiran, supaya kemajuan pantai ini turut meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.

Aiman, petugas pengurusan Pantai Tapang.
“Pembangunan pantai ini turut membawa elemen digital dan teknologi moden bagi menyesuaikan keperluan pelancong masa kini sambil mengekalkan suasana kampung yang harmoni dan mesra pengunjung,” katanya.
Tambahnya lagi, inisiatif tersebut juga mendapat sokongan penuh usahawan tempatan yang melihat potensi besar pantai berkenaan sebagai lubuk rezeki baharu dalam sektor perkhidmatan, makanan, penginapan dan aktiviti pelancongan.
Dengan komitmen berterusan masyarakat serta perancangan strategik kerajaan negeri, Pantai Tapang dijangka menjadi contoh pelancongan Islamik yang mampan dan inklusif, sekaligus memperkukuh identiti pelancongan Kelantan.
Pantai Tapang bukan sekadar destinasi baharu, ia adalah bukti kejayaan kolaborasi komuniti dalam memanfaatkan kekayaan alam untuk pembangunan bersama berteraskan nilai agama dan ekonomi mapan.
-RI





