Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kelab Malaysiaku Perkasa Jati Diri Pelajar, Semai Kesedaran Sivik

By 16 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof/Nik Aula Nik Soh

KUALA KRAI, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra 1 mengambil inisiatif memperkukuh jati diri dan kesedaran sivik dalam kalangan pelajar menerusi penganjuran program penuh semangat patriotisme bersama Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

Program yang berlangsung semalam di Dewan Petra SMK Sultan Yahya Petra 1 itu disertai pelajar, guru dan wakil agensi kerajaan.

ASP Hasbullah memberikan penerangan mengenai peranan pelajar sebagai ejen keselamatan komuniti dalam sesi taklimat keselamatan program Kelab Malaysiaku.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Azizi Salleh dalam ucapan alu-aluan, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menegaskan program seperti itu penting dalam membentuk sahsiah pelajar yang berwibawa, prihatin dan mempunyai semangat cinta akan negara.

Antara pengisian utama ialah taklimat keselamatan komuniti oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai ASP Hasbullah Noor yang menekankan kepentingan pencegahan jenayah dan peranan pelajar sebagai agen penyampai maklumat keselamatan kepada keluarga serta komuniti sekeliling.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Krai Nik Aula Nik Soh pula menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam membentuk masyarakat bermaklumat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Pelajar aktif bertanya soalan semasa sesi interaktif keselamatan dan kenegaraan, mencerminkan minat serta kesedaran terhadap isu semasa dalam kalangan generasi muda.

Guru kaunseling sekolah, Salwani, 47, menyifatkan program berkenaan sebagai platform penting membina karakter positif pelajar.

“Program ini bukan sahaja menyemai semangat patriotik, malah berjaya membentuk kesedaran sivik dan jati diri dalam kalangan pelajar.

“Diharap ia dapat diteruskan secara berterusan untuk membina generasi MADANI yang bertanggungjawab,” katanya.

Program mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar dan guru, dengan sesi interaktif yang menyaksikan pelajar aktif mengemukakan soalan berkaitan keselamatan dan perpaduan.

-RI

Tinggalkan komen anda