Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Melangkah Ke Era Baharu: Rh Empading Bukti Modernisasi Rumah Panjang Yang Inklusif

By 17 Julai 2025November 4th, 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandy Kassim / Fakhri Zafran (Sri Aman)

SRI AMAN, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat gotong-royong dan perpaduan utuh dalam kalangan komuniti rumah panjang merupakan tunjang utama di sebalik kejayaan transformasi Rumah Panjang (Rh) Empading, Skrang daripada sebuah kediaman kayu usang kepada simbol kemajuan luar bandar yang moden.

Tuai Rumah Empading Jampang, 72, berkata kejayaan yang dinikmati lebih 200 penghuni rumah panjang itu pada hari ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu sejak pembinaannya bermula lebih dua dekad lalu.

“Kejayaan hari ini bukannya datang bergolek kerana ia adalah hasil titik peluh dan pengorbanan seluruh penduduk.

Bahagian dalaman atau ruai juga memaparkan ciri kemodenan pada rumah panjang moden.

“Saya masih ingat lagi bagaimana kami bersama-sama, tidak kira tua atau muda, mengangkut sendiri bahan binaan dari Sungai Skrang dan inilah Semangat Segulai Sejalai atau seiring sejalan yang menjadi pengikat kami,” kata Empading ketika ditemui dalam Program Jiwa Komuniti Madani@Kemasyarakatan di sini, semalam.

Menurut beliau, impak sebenar kemajuan mula dirasai apabila jaringan jalan raya berturap siap dibina, memendekkan masa perjalanan ke pusat pertumbuhan terdekat seperti Bandar Sri Aman dan Engkelili, sekali gus membuka akses kepada pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

“Dulu, harapan kami hanya pada laluan sungai namun sekarang, jalan raya sudah sampai ke depan rumah dan ia bukan sahaja memudahkan kami untuk ke pekan, tetapi juga membuka banyak peluang baharu kepada anak-anak kami,” jelasnya lagi.

Empading turut menambah, menara telekomunikasi sedia ada telah melengkapkan transformasi Rh Empading lantas membawa komuniti mereka ke era digital.

Pandangan luar rumah panjang yang memiliki 37 pintu.

Kemudahan telekomunikasi yang semakin baik turut membolehkan golongan belia menceburi perniagaan secara atas talian dan ini merupakan satu anjakan atau perubahan signifikan kepada belia setempat.

“Kemudahan sudah ada di depan mata, tanggungjawab generasi muda kini adalah untuk memanfaatkannya dengan baik, terus belajar dan jangan sekali-kali tinggalkan semangat bekerjasama apatah lagi rumah panjang ini adalah warisan kita bersama,” ujarnya.

Mengulas mengenai harapan masa depan, Empading menasihati generasi muda agar tidak melupakan pengorbanan generasi terdahulu dan terus memelihara perpaduan yang menjadi asas kejayaan mereka.

Rh Empading yang kini mempunyai 37 pintu, berdiri sebagai bukti kejayaan pembangunan komuniti luar bandar yang dipacu oleh usaha sendiri, selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mencapai kemajuan yang inklusif di seluruh negeri.

-RJ-

Tinggalkan komen anda