Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

MSSD Memanah Platform Cungkil Bakat Baharu

By 18 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) menjadi platform ampuh dalam mencungkil dan mengasah bakat baru dalam sukan memanah di peringkat sekolah dan seterusnya.

Suasana sekitar Kejohanan Memanah MSSD Hulu Perak.

Ketua Jurulatih Memanah Md Razali Hassan berkata kejohanan itu membuka ruang kepada murid-murid untuk menunjukkan potensi mereka dan menjadi medan pemilihan atlet untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri (MSSN) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“Penyertaan yang semakin meningkat saban tahun menunjukkan minat terhadap sukan memanah dalam kalangan pelajar semakin berkembang.

“Latihan intensif yang dijalankan di sekolah serta sokongan ibu bapa penting dalam memastikan atlet muda ini mampu bersaing secara kompetitif,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Felda Lepang Nenering. di sini kelmarin.

Razali atau lebih dikenali sebagai Coach Dodi, menambah melalui kejohanan MSSD bakat baru boleh dikenal pasti lebih cepat dan diberikan pendedahan awal tentang suasana pertandingan sebenar.

“Selain menguji ketahanan mental dan fizikal, acara ini turut mendidik murid tentang nilai disiplin, fokus dan semangat kesukanan.

Maktab Sains Rendah MARA (MRSM) Pengkalan Hulu menghantar paling ramai peserta iaitu 19 orang.

“Sebagai langkah seterusnya, adalah penting agar bakat-bakat yang dikenal pasti diberi perhatian susulan melalui program pembangunan sukan yang berstruktur dan berterusan,” katanya.

Katanya dengan bimbingan yang betul, mereka mampu menjadi atlet yang mengharumkan nama sekolah, daerah dan negara pada masa akan datang.

“Kesimpulannya, MSSD Memanah bukan sekadar satu kejohanan, tetapi satu wadah strategik dalam pembangunan atlet muda negara.

“Diharapkan lebih banyak pihak tampil memberikan sokongan agar lebih ramai bakat muda dapat digilap ke tahap tertinggi,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda