
Laporan/foto: Noor Faeizah Ahamad (Kota Setar)
KOTA SETAR, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma muncul juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku sekali gus layak mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan 4 September ini.

Persembahan oleh SMK Sultanah Asma.
Membawakan tajuk ‘Pembangunan Negeri Kedah Menara Alor Setar’, sekolah berkenaan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 beserta trofi dan sijil penyertaan. SMK Pekula Jaya Kuala Muda dinobat sebagai pemenang tempat kedua serta tempat ketiga disandang SMK Kubor Panjang.
Manakala, saguhati menjadi milik SMK Tunku Abdul Malik Kota Setar dan SMK Ayer Hangat Langkawi dalam pertandingan yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negeri Kedah, di sini semalam.
Wakil kumpulan SMK Sultanah Asma, Aishah Sobri, 16, berkata beliau bersama rakannya akan akan terus berlatih dan berusaha sedaya upaya dengan lebih keras sebagai persiapan keperingkat Kebangsaan kelak.
“Pertandingan ini merupakan platform kepada generasi muda untuk mencungkil bakat di samping memupuk semangat patriotisme dan cintakan tanah air,” katanya.

Persembahan nyanyian daripada Armand & The Band.
Aishah juga berharap Jabatan Penerangan meneruskan pertandingan ini pada masa akan datang agar generasi baru tidak lupa kepada jasa tokoh kenegaraan dan sejarah tanah air.
Selain daripada menyaksikan persaingan daripada lima buah sekolah yang bertanding, acara turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan kuiz kenegaraan.
Turut hadir Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Awang Rosnadi Awang Rosli.
-RI





