Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

SST: KPDN Selangor Periksa 416 SKU Barangan Keperluan Asas

By 18 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor

SHAH ALAM, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memeriksa 416 unit penyimpanan stok (SKU) barang keperluan asas sepanjang pelaksanaan Op Kesan 4.0 sejak 1 Julai lepas susulan pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Pemeriksaan dibuat ke atas 120 premis di seluruh Selangor memfokuskan barangan pengguna seperti barangan basah dan makanan dalam tin yang dikecualikan SST bagi memastikan tiada sebarang kenaikan harga tidak munasabah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek berkata kesemua premis yang diperiksa telah diberi notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mendapatkan maklumat harga dan kos barangan.

“KPDN Selangor melaksanakan pemantauan berterusan ke atas semua kategori perniagaan termasuk pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit, untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menggunakan SST sebagai alasan menaikkan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi berkenaan di sebuah pasar raya di Seksyen 13, di sini hari ini.

Mohd Hanizam berkata empat elemen utama diberi tumpuan dalam operasi tersebut iaitu senarai barangan dan perkhidmatan terlibat dalam SST, entiti perniagaan berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), tempoh pelaksanaan dasar SST serta margin keuntungan bagi mengelak pencatutan.

“Peniaga disaran merujuk kepada JKDM atau KPDN bagi mendapatkan nasihat berkenaan pelaksanaan dasar SST serta mekanisme penentuan pencatutan agar tidak melanggar undang-undang.

Hanizam dan Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor mendengar penerangan daripada pengurusan pasaraya yang terlibat dalam OPS KESAN 4.0 di Shah Alam.

“Individu yang disabitkan kesalahan mencatut boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” tegasnya.

Op Kesan 4.0 merupakan antara langkah intervensi di bawah inisiatif Kita Gempur yang dilancarkan 19 Oktober 2024 bagi mengekang manipulasi harga dan memastikan pasaran kekal stabil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pencatutan dan manipulasi harga diminta menyalurkan aduan melalui talian 03-8882 6245/6088, aplikasi WhatsApp 012-665 4292, portal e-Aduan https://eaduan.kpdn.gov.my, talian Bebas Tol 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.

-RI

Tinggalkan komen anda