
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 21 Jul (MalaysiaAktif) –Pendekatan turun padang dan keprihatinan terhadap rakyat terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Program Santuni MADANI Siri 2/2025 yang berlangsung di Kampung Sri Bombalai Laut, di sini pada Sabtu.

Suwadi merasmikan Program Santuni MADANI Siri 2/2025 di Kg Sri Bombalai Laut, Tawau, semalam.
Inisiatif strategik anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu bertujuan mempererat hubungan antara pemimpin dan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar selaras dengan aspirasi digarap menerusi Malaysia MADANI.
Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM, Suwadi Guliling berkata, pendekatan sebegitu merupakan langkah penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Kita tidak boleh hanya merancang dari atas, tetapi perlu turun melihat, mendengar dan bertindak berdasarkan realiti kehidupan rakyat. Program Santuni MADANI ini adalah ruang untuk kita menyelami denyut nadi komuniti secara terus.

Suwadi menyerahkan bantuan bakul kepada penduduk, lambang keprihatinan dan sokongan kerajaan.
“Melalui pendekatan ini, kita bukan sahaja menyampaikan maklumat dan perkhidmatan, tetapi juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam mendahulukan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Program turut diserikan dengan pelbagai pengisian yang dekat dengan komuniti antaranya gotong-royong, ceramah kesihatan dan keselamatan, lawatan ziarah kasih, bengkel pendidikan dan kem pelajar.

Suwadi dan Jalani (baju biru) bergambar bersama penduduk kampung yang hadir dalam program tersebut.
Selain itu, turut diadakan saringan kesihatan percuma, bantuan kebajikan serta sokongan sosial kepada golongan memerlukan turut dilaksanakan sebagai sebahagian usaha menyeluruh memperkasa kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.72 Merotai, Jalani Chachu.
-RJ-





