Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Durian Kampung Tarik Minat, Pekebun Berlumba Pamer Isi Terbaik

By 21 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Dikenali sebagai raja buah, durian kampung yang berisi kuning, tebal dan manis terus menjadi rebutan peminat tempatan setiap kali musim tiba.

Menariknya, keunikan dan kualiti buah durian kampung telah diraikan melalui Pertandingan Durian Kampung Premium yang diadakan di Kampung Gual Seno, Bechah Laut, pagi kelmarin.

Raja Ahmad Zulfakar Raja Man memberi taklimat pertandingan kepada peserta.

Pertandingan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pekebun dan penggemar durian setempat yang tampil memperkenalkan hasil kebun masing-masing.

Menurut seorang pekebun dan pemborong dari Kampung Bechah Laut Raja Ahmad Zulfakar Raja Man, 49, pertandingan ini tercetus daripada inisiatif komuniti sendiri untuk mengangkat martabat durian kampung sebagai buah bernilai tinggi.

“Banyak pokok durian kampung sekarang sedang mengeluarkan hasil yang elok dan banyak. Jadi saya bersama rakan-rakan sepakat anjurkan pertandingan ini bagi menilai keenakan sebenar isi durian kampung,” katanya yang juga Ketua Komuniti MADANI Bechah Laut merangkap ketua pengadil pertandingan.

Beliau, menegaskan hanya durian kampung tulen dibenarkan bertanding.

“Durian kacukan tak dibenarkan masuk, supaya kita benar-benar fokus kepada keaslian rasa dan tekstur durian kampung,” katanya.

Mat Salleh Yaman yang berjaya meraih tempat kedua Pertandingan Durian Kampung Premium.

Seorang peserta, Mat Salleh Yaman, 67, dari Kampung Rawa, berkata beliau menanam durian sebagai hobi dan warisan keluarga.

“Pak Leh masuk bertanding ini saja nak banding buah sendiri dengan orang lain. Buah ini pun untuk anak-cucu kalau mereka balik kampung,” ujarnya yang berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan.

Seorang lagi peserta, Zubaidah Saad, 59, atau lebih dikenali sebagai Kak Ju, menyertai pertandingan selepas didorong oleh rakan-rakan yang memuji kualiti duriannya.

“Ramai pelanggan tetap datang tempah setiap musim. Bila kawan-kawan kata durian Kak Ju elok, saya pun cuba nasib,” katanya sambil tersenyum.

Sebanyak 13 penyertaan disenarai pendek untuk pertandingan kali ini dengan pemarkahan berdasarkan warna isi, ketebalan, kelembutan serta rasa.

Turut hadir menyokong acara ialah Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin serta penduduk setempat yang memeriahkan suasana.

Pertandingan ini dilihat sebagai langkah kreatif mengangkat produk tempatan serta menyatukan komuniti melalui hasil bumi yang menjadi kebanggaan ramai.

-RI

Tinggalkan komen anda