
Laporan/foto: Ikhwan Fahim/Muhammad Nashran (Kampar)
GOPENG, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat kebersamaan dan keharmonian terserlah apabila masyarakat India dari Desa Lawan Kuda menyertai Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan yang berlangsung meriah di Padang Bandaran Gopeng, di sini kelmarin.

Acara lari dalam guni cetus keceriaan dan semangat sukan dalam kalangan peserta cilik.
Pelbagai aktiviti sukan rakyat seperti lari dalam guni, bawa bola pingpong dalam sudu, tiup belon serta sepakan penalti diadakan bagi menyemai semangat kerjasama dalam kalangan peserta dari pelbagai lapisan usia.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Desa Lawan Kuda Veeran Kariam, program berkenaan menjadi wadah berkesan merapatkan hubungan antara penduduk setempat sambil memupuk nilai kebersamaan yang semakin dilupakan.
“Program JIWA@Komuniti MADANI ini bukan sekadar mengisi masa lapang, malah menjadi ruang penting untuk mengeratkan hubungan masyarakat setempat. Ia juga merupakan satu inisiatif terbaik oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam menyampaikan maklumat secara dekat dan santai kepada rakyat,” katanya.

Wajah-wajah ceria remaja kaum India selepas beraksi dalam sukan rakyat.
Salah seorang peserta acara sepakan penalti Santhiran Muniandy, 15, berkata beliau berasa gembira dapat menyertai pertandingan tersebut kerana bukan sahaja dapat bersaing secara sihat, malah dapat mengenali ramai rakan baharu daripada kawasan sekitar.
“Ini kali pertama saya sertai acara macam ni. Seronok sangat sebab semua orang sporting dan kami dapat hadiah juga,” ujarnya.
Program turut diserikan dengan penyampaian pingat, hadiah dan cenderamata kepada para pemenang dan peserta.
Inisiatif berkenaan jelas menunjukkan komitmen JAPEN dalam merakyatkan dasar kerajaan melalui pendekatan santai dan mesra komuniti, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
-RI





