
Laporan/foto: Muhammad Syafiq Md Saad (Kubang Pasu)
MEGAT DEWA, 27 Jul (MalaysiaAktif) — Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Jame’ As-Salam di Pekan Megat Dewa, diiringi solat Jumaat bersama-sama rakyat jelata.

Sesi bergambar Baginda Sultan bersama Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Perasmian Masjid Jame’ As-Salam diadakan seusai majlis sebagai tanda kenang-kenangan atas keberangkatan baginda merasmikan masjid tersebut.
Keberangkatan tiba Baginda di perkarangan masjid disambut penuh adat istiadat oleh barisan kepimpinan negeri, pegawai kerajaan, pemimpin setempat serta warga kariah yang menzahirkan rasa syukur dan terharu atas kesudian Baginda mencemar duli ke daerah ini.
Dalam majlis penuh istiadat tersebut, Baginda Sultan berkenan menyempurnakan gimik perasmian dan menandatangani plak perasmian Masjid Jame’ As-Salam yang bakal menjadi mercu tanda baharu syiar Islam di kawasan ini.
Majlis perasmian ini lebih bermakna apabila diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman ke-83, sekali gus mencerminkan keakraban Institusi Diraja bersama rakyat dalam memperkasa peranan masjid sebagai nadi ummah.
Usai upacara perasmian, Baginda Sultan turut berkenan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat jelata yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri Kedah dalam suasana penuh kesyukuran dan keberkatan.
Masjid Jame’ As-Salam dibina di atas tanah wakaf seluas 5.78 hektar dengan kapasiti menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa. Projek pembinaan masjid ini bermula pada tahun 2020 dan siap sepenuhnya pada 2023 dengan kos keseluruhan sebanyak RM4.5 juta, hasil sumbangan ikhlas anak-anak kariah dan sokongan sektor korporat.
Bagi pihak Jawatankuasa Induk Majlis Perasmian Masjid Jame’ As-Salam, seluruh anak kariah dan warga daerah ini merafak sembah setinggi-tinggi junjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan atas limpah perkenan mencemar duli merasmikan masjid serta menunaikan solat Jumaat bersama rakyat.

Plak perasmian yang telah disempurnakan oleh Sultan Negeri Kedah Darul Aman.
“Saya sangat bersyukur dan berbesar hati atas keberangkatan Tuanku Sultan merasmikan Masjid Jame’ As-Salam yang menjadi kebanggaan seluruh warga setempat,” kata salah seorang penduduk, Md Hanafi Ismail, 57, ketika ditemui kelmarin.
Masjid ini dijangka berperanan sebagai pusat ibadah, pendidikan, serta aktiviti kemasyarakatan dalam memupuk perpaduan ummah dan memperkukuh syiar Islam di bumi Kedah Darul Aman.
Kariah Masjid Jame’ As-Salam merangkumi 12 buah kampung dengan jumlah penduduk seramai 1,500 orang.
-RI





