Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

PM Anwar Rasmi Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2025

By 27 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Taufiq Mohd Noor (Kubang Pasu)

JITRA, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung meriah di Dataran Darulaman, Bandar Darulaman, Jitra, Kedah di sini, kelmarin.

Pertukaran helmet oleh JPJ untuk golongan B40

Bertemakan Lebih Baik Cegah, program ini merupakan inisiatif utama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menguatkan kesedaran awam bahawa pencegahan dadah adalah tanggungjawab bersama.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk pemeriksaan kesihatan, pameran agensi kerajaan dan swasta, pertandingan memasak pulut kuning dan mewarna, sukan rakyat, program pertukaran helmet golongan B40 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ dan cabutan bertuah.

Dalam ucapan perasmiannya, Anwar menegaskan usaha membanteras dadah tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pencegahan, pendidikan, pemulihan dan kerjasama komuniti.

Pameran oleh agensi kerajaan

“Kerajaan komited membina masyarakat yang sihat dan bebas dadah melalui pendekatan yang berasaskan nilai kemanusiaan. Kita mesti memulakan dari akar umbi, keluarga, sekolah dan komuniti kerana di situlah benih kesedaran dapat ditanam,” ujar beliau.

Anwar juga menyatakan bahawa penyalahgunaan dadah bukan sekadar isu jenayah, tetapi juga cabaran sosial dan kesihatan awam yang memerlukan perhatian bersepadu dari semua lapisan masyarakat.

“Tidak ada makna pembangunan ekonomi atau teknologi jika generasi muda kita terperangkap dalam belenggu ketagihan. Usaha pencegahan mestilah bersifat proaktif, inklusif dan berterusan,” tambah beliau lagi.

Perasmian oleh Anwar itu menandakan komitmen kerajaan untuk memperkasakan kerjasama pelbagai pihak dalam membanteras penyalahgunaan dadah.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat, sektor swasta dan ibu bapa agar memainkan peranan aktif dalam membentuk persekitaran yang selamat dan bebas dadah.

Program seharian ini turut menyediakan ruang interaktif untuk masyarakat berkunjung dan menyertai pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan kefahaman serta menyemarakkan semangat untuk bersama-sama dalam usaha nasional bagi memerangi gejala penyalahgunaan dadah.

-AA-

Tinggalkan komen anda