
Laporan/foto: Mohd Zulfadli
MACHANG, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Kepulangan Peguam Negara baharu Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ke Kampung Pulai Chondong, di sini mencipta momen penuh emosi apabila beliau berdiri semula di sekolah tempat dirinya mengenal huruf dan membina asas kehidupannya sempena Majlis peluncuran Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI), kelmarin.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bergambar kenangan bersama hadirin.
Program Santuni MADANI merupakan inisiatif kerajaan yang mengangkat konsep kampung angkat di mana pegawai kanan kerajaan diberi tanggungjawab membimbing dan membantu sebuah komuniti.
Mohd Dusuki memilih kampung berkenaan sebagai kampung angkatnya dan berjanji untuk terus menyokong pembangunan masyarakat di situ.
“Di sinilah saya membesar dan mengenal dunia pendidikan. Hari ini saya kembali bukan sahaja sebagai anak kampung tetapi juga sebagai pemimpin yang ingin menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, di sini.

Guru Besar SK Pulai Chondong menyampaikan ucapan aluan.
Majlis tersebut yang diisi dengan pelbagai aktiviti komuniti berlangsung meriah, sekali gus menjadi simbol keakraban antara pemimpin dan rakyat dengan Mohd Dusuki juga menyampaikan sumbangan sebuah Smart TV 65 inci dan wang tunai RM3,000 kepada sekolah berkenaan.
Majlis turut dihadiri pelbagai pemimpin dan wakil agensi termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan Idham Abd Ghani, Ketua Jajahan Machang Mohd Zamri Ibrahim serta Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Negeri Kelantan Mat Lazim Mohammad.
-RI





