
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sentiasa berusaha merangka satu sistem bas berhenti-henti yang lebih efisien dan dinamik agar dapat meningkatkan mobiliti, produktiviti dan peningkatan taraf hidup rakyat Malaysia yang terkesan dengan cabaran ekonomi dunia.
Sehubungan itu, dua insiatif diwujukan APAD iaitu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) melalui jenama perkhidmatan BAS.MY dan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF).

Para tetamu dibawa menaiki BAS.MY di sekitar pekan Kangar.
Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Tranformasi Perkhidmatan Bas Henti -Henti BAS.MY Kangar, di sini semalam berkata terdapat sembilan laluan BAS.MY di Perlis yang merangkumi keseluruhan negeri serta turut menghubungkan bandar Kangar dan bandar raya Alor Setar.
“Melalui inisiatif BAS.MY Kota di Perlis ini, sebanyak 24 buah bas yang terdiri dari 20 buah bas mini dan empat bas mini low floor digunakan dan Kerajaan Persekutuan akan melaburkan sebanyak RM39.70 juta bagi tempoh lima tahun atau RM7.94 juta setahun bagi memastikan perkhidmatan BAS.MY Kangar dapat mencapai kejayaan.
“Ini merupakan jumlah yang besar yang seharusnya dimanfaatkan bagi setiap sen yang dikeluarkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambahnya, antara ciri-ciri sebahagian bas yang diperkenalkan ialah bas-bas yang bersifat low floor yang memudahkan penumpang naik dan turun bas selain mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Majlis Perasmian BAS.MY Kangar oleh Antony Loke dan Mohd Shukri.
“Bas-bas yang digunakan juga ditambah dengan ciri ciri keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau keselamatan penumpang di dalam dan di luar bas. Bas-bas ini juga dilengkapi paparan LED bagi memaparkan nombor dan destinasi bas.
“Selain memastikan perkhidmatan bas yang berkualiti disediakan, Kerajaan MADANI juga amat prihatin terhadap kos pengangkutan awam yang ditanggung oleh rakyat. Oleh itu, pas bulanan perjalanan tanpa had Kad 30 Hari BAS.MY telah diperkenalkan di Kangar,” ujarnya.
Dengan Kad 30 Hari BAS.MY ini, pengguna hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di kesemua sembilan laluan BAS.MY Kangar bagi tempoh 30 hari.
Turut hadir di majlis tersebut Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Rahimi Ismail.
-RI





