
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Azali Ariffin JAPEN
PUTRAJAYA, 30 Jul (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan beberapa projek oleh Kementerian Komunikasi (KK) sedang dinilai untuk dilaksanakan oleh negara luar.
Beliau berkata antara projek tersebut ialah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), susulan kejayaan NADI Pulau Banggi di Sabah menerusi Projek Inklusif Digital NADI Malaysia yang menjuarai Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) di Geneva, Switzerland, 7 Julai lepas.
“Dari 970 projek dari seluruh dunia, hanya 18 yang jadi pemenang dan salah satunya projek di bawah MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).
“Ini membuktikan segala usaha dan dasar projek yang kita laksanakan di bawah MCMC berjaya menarik minat dan memperoleh kemenangan serta anugerah di peringkat antarabangsa. Malah, sekarang beberapa usaha kita sedang dinilai untuk dilaksanakan di negara-negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Dewan Serbaguna Kementerian Komunikasi, di sini pagi tadi.
Projek yang memfokus kepada pemerkasaan komuniti paling terpencil di Malaysia dengan kemahiran digital, literasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan akses kepada peluang ekonomi itu telah memperoleh kemenangan dalam kategori C4:Pembinaan Kapasiti.
Sementara NADI pula ialah projek kerajaan dengan inisiatif yang diwujudkan oleh MCMC di bawah Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dengan matlamat untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat luar bandar dengan masyarakat bandar.
Terdahulu, Fahmi menerima anugerah tesebut di Sidang Kemuncak Peringkat Tinggi Masyarakat Maklumat Sedunia+20 (WSIS+20) pada 7 Julai lalu.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merancang untuk melaksanakan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron dari klinik luar bandar ke NADI terdekat di beberapa lokasi terpilih.
Perancangan itu ekoran kejayaan program antara MCMC dan KKM di NADI Lengkuas di Papar, Sabah yang membuktikan internet berkelajuan tinggi berupaya membuka ruang kepada perkhidmatan kesihatan moden.
“…kita berjaya tunjukkan dengan internet lebih laju…kebanyakan NADI mencatat kelajuan internet melebihi 100Mbps (Megabit per saat), malah di Kampung Sim Sim, Sandakan dan Felda Soeharto, Hulu Selangor telah mencapai 1Gbps (Gigabit per saat) membolehkan mereka membuat program teleperubatan dan e-kesihatan.
“Bila kita dapat laksanakan (perkhimatan penghantaran ubat menggunakan dron), warga setempat luar bandar tidak perlu ke pekan atau bandar kerana di NADI yang berdekatan juga mereka boleh dapatkan manfaat terutamanya untuk saringan kesihatan asas dan mendapatkan ubat,” katanya.





