Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

KMJG 2025 Akan Rentasi Perlis, Perhebat Semangat Patriotik Rakyat

By 31 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini/Anuar Che Amat

KANGAR, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 dijadualkan akan merentasi negeri Perlis pada 6 Ogos ini melibatkan lapan tempat pemeriksaan utama, bermula di Kampung Pauh Setia dengan persembahan simbolik tarian singa sebagai pembuka tirai konvoi.

Sambutan KMJG, Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 dijangka menyemarakkan semula semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang bakal diraikan seluruh negara.

Aidatul Shima mempromosikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 bagi negeri Perlis.

Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 turut menandakan permulaan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan sepanjang Bulan Bebangsaan.

Antara aktiviti yang dirancang termasuklah program turun padang bersama Komuniti MADANI Perlis, kempen kibar bendera, ziarah kasih, pertandingan berunsur patriotik serta edaran bahan promosi kenegaraan.

Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Aidatul Shima Che Hassan, penganjuran acara tahunan itu menjadi medium penting memupuk rasa cinta akan negara serta menyemai semangat jati diri kebangsaan dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

“KMJG bukan hanya membawa Jalur Gemilang merentasi daerah dan negeri, tetapi turut membawa mesej penyatuan rakyat, menyemarakkan semangat kemerdekaan dan memperingati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dalam membina negara yang merdeka dan berdaulat.

“Penglibatan rakyat secara langsung amat penting dalam memastikan semangat patriotik terus subur dan relevan bukan hanya pada bulan Ogos, tetapi sepanjang tahun,” katanya pada sesi temu bual khas di PERLISfm, semalam.

Slot PAHADOI sentiasa mengetengahkan program-program Jabatan Kerajaan.

Katanya lagi, KMJG 2025 akan memberi tumpuan kepada pendekatan berimpak tinggi melalui penglibatan aktif golongan belia dan komuniti setempat dalam menjayakan program-program yang mendekatkan rakyat dengan nilai-nilai kenegaraan.

Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dilaksanakan serentak di seluruh negara turut menyeru penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk jabatan kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan, komuniti perniagaan serta individu untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan sebagai simbol kecintaan kepada negara.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan Hari Kebangsaan 2025 diharap dapat memberi penghayatan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai pentingnya perpaduan, nilai kemanusiaan dan tanggungjawab bersama dalam membina negara yang sejahtera dan harmoni.

-RI

Tinggalkan komen anda