
Oleh: Mastika Hablum
MELAKA, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – 24 buah sekolah kebangsaan di Melaka terlibat dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2016 yang diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Melaka.
Pertandingan robotik ini melibatkan murid berusia tujuh hingga 18 tahun. Hari pertama, semalam, dimulakan dengan penyertaan dari sekolah rendah dan hari kedua pula penyertaan dari sekolah menengah.
Setiap pasukan yang terdiri daripada tiga orang perlu membina dan memprogramkan sebuah robot untuk menyelesaikan beberapa siri tugasan. Hari pertama berlangsungnya Kategori Regular (Pro & Rookie) Sekolah Rendah dengan format pertandingan untuk kategori ini adalah berasaskan cabaran litar.
Menurut urus setia program, Adam Awang Yussof, antara tujuan pertandingan ini ialah untuk membolehkan pelajar membina pemikiran logik dan sistematik semasa proses perancangan dan pelaksanaan pemprograman robot.
“Program seumpama ini membantu pelajar membina satu asas yang kukuh dalam bidang Matematik, Sains, Teknologi, Reka Bentuk serta Teknologi Maklumat melalui pengalaman hands-on atau penyelidikan,” katanya.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Beruang berjaya menjadi Johan bagi kategori Rookie manakala penyertaan kali pertama kumpulan Alpha dan Beta dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Laksamana membuahkan hasil apabila kumpulan Alpha berjaya mendapat tempat kedua.
Manakala, SJKC Yoke Bin akan mewakili negeri Melaka ke Peringkat Kebangsaan pada September nanti di negeri Perak setelah memenangi Johan dan Naib Johan bagi kategori Pro di samping menerima medal dan sijil kecemerlangan.
-DZ