
Laporan/ Foto : Joseph Laga/ Matteus Felix (Sarawak)
SONG, 1 Ogos (MalaysiaAktif) – Penyampaian maklumat rasmi kerajaan merangkumi dasar Kerajaan MADANI dan Sarawak yang disampaikan secara ringkas tetapi padat, berinformatif dan mudah difahami sememangnya bertujuan untuk memastikan setiap dasar diterima baik demi manfaat semua pihak.
Sehubungan itu, Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Song dengan kerjasama Komuniti MADANI Pekan Song menganjurkan Program Sembang Santai MADANI dalam suasana santai melibatkan sekitar 40 peserta di Rumah Jampong, Jalan Takan, Song, kelmarin.

Joseph (tiga kiri) bersama yang lain di Rumah Jampong.
“Pendekatan tidak formal sebenarnya mampu menarik perhatian pendengar dan proses penyampaian maklumat akan lebih berkesan bagi meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran seseorang tentang mesej yang disampaikan,” kata Pegawai Penerangan Daerah Song Joseph Laga.
Menurut beliau lagi, program lebih mesra seperti itu juga berperanan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara wakil kerajaan atau agensi awam dengan masyarakat terutamanya membabitkan soal perbincangan yang penting.
Rakyat mudah untuk mendekati jentera kerajaan melalui pendekatan santai yang dilaksanakan sebegini terutamanya apabila sesi penerangan membabitkan Pejabat Daerah Song berkisarkan peranan pengurusan dan pentadbiran pejabat daerah dan perkongsian langkah pencegahan penyakit berjangkit melalui tip penjagaan diri oleh wakil Pejabat Kesihatan Daerah Song.

Peserta secara santai mendengar penerangan yang disampaikan.
Selain itu, segmen soal jawab, aktiviti agihan risalah berkaitan insentif kerajaan dan perbincangan berkaitan peluang ekonomi komuniti juga diadakan dalam suasana penuh muhibah.
Program Sembang Santai MADANI yang berlangsung dalam suasana meriah itu turut dihadiri Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Song Harry Don Bosco, Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Song Mohd Safary, Kaunselor Sibat Nyantau, Kaunselor Fatimah Ilam, tuai-tuai rumah dan ahli Komuniti MADANI.
-RJ-





