
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Pelarasan tarif air baharu yang berkuat kuasa Jumaat lepas merupakan langkah strategik ke arah menjamin sistem bekalan air yang moden, berdaya tahan dan mampan bagi manfaat jangka panjang rakyat Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd Anuar Abdul Ghani, berkata pelarasan itu dilaksanakan selaras dengan kelulusan Kabinet menerusi warta rasmi, hasil permohonan yang dikemukakan oleh kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan bagi mengukuhkan perkhidmatan bekalan air bersih dan terawat kepada pengguna.
Bagaimanapun, menurutnya pelarasan tarif di Johor tidak melibatkan majoriti pengguna domestik, rumah ibadat serta golongan rentan yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ranhill SAJ semalam, pelarasan tarif di Johor tidak melibatkan majoriti pengguna domestik, rumah ibadat serta golongan rentan yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih.
“Pelarasan tarif hanya melibatkan pengguna domestik Jalur Tiga, iaitu bagi penggunaan melebihi 35 meter padu sebulan serta pengguna kategori bukan domestik.
“Pengguna Jalur Satu dan Dua, yang mewakili majoriti pengguna domestik di Johor, akan terus menikmati kadar tarif air sedia ada,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, kelmarin.
Beliau menjelaskan, kadar caj minimum bagi pengguna domestik kekal pada RM10.50, manakala tarif baharu bagi penggunaan melebihi 35 meter padu dikenakan tambahan sebanyak 35 sen bagi setiap meter padu.
Bagi kategori bukan domestik, pelarasan antara RM1 hingga RM1.75 per meter padu dikenakan, dengan caj minimum baharu RM41.50. Kategori pusat data pula dikenakan tarif baharu RM5.33 per meter padu, manakala industri perkapalan dikenakan RM8.03.
Anuar menegaskan bahawa pelarasan tarif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Ranhill SAJ untuk memperkukuh sistem bekalan air negeri, agar terus berdaya tahan dan mampu memenuhi permintaan semasa serta masa hadapan.
“Ia merupakan pelaburan penting yang perlu dilaksanakan hari ini demi menjamin masa depan bekalan air Johor yang lebih terjamin dan lestari.
“Pelarasan itu akan menyokong pelaksanaan beberapa projek naik taraf kritikal, termasuk Pakej Layang 2 Fasa 2 dengan kapasiti 160 juta liter sehari (JLH), Semanggar (50 JLH) dan Semanggar 3 (120 JLH),” katanya.
Menurut beliau langkah berkenaan akan membolehkan kerja penggantian paip lama yang berisiko tinggi mengalami kebocoran dilaksanakan, selain menangani peningkatan permintaan air selaras dengan pertumbuhan pesat pembangunan dan jumlah penduduk di negeri tersebut.
-RI





