
Laporan/foto: Mohd Taufiq Mohd Noor (Kubang Pasu)
JITRA, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Panorama Hillstay Napoh kini muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan penggemar alam semula jadi dan pencinta gaya hidup glamping, gabungan kemewahan dan perkhemahan di utara tanah air.
Terletak di Kampung Tebing, Napoh kawasan ini menawarkan pemandangan dari atas bukit yang memukau, menjadikannya lokasi ideal untuk healing getaway dan percutian hujung minggu yang santai.
Dengan latar belakang sawah padi dan langit terbuka, Panorama Hillstay menyediakan suasana yang sukar ditandingi untuk melarikan diri dari hiruk-pikuk kota.

Panorama indah dia atas bukit.
Penginapan di Panorama Hillstay menampilkan pelbagai konsep glamping dan khemah unik yang dihias menarik dan menjadikannya lokasi pilihan generasi muda dan keluarga yang mencari pengalaman berbeza.
Selain itu, kawasan ini turut dilengkapi dengan spot bergambar yang direka khas untuk pengunjung merakam detik matahari terbenam serta pemandangan lembah yang indah.
“Ramai pelawat datang bukan sekadar untuk menginap, tapi juga untuk bergambar dan menikmati suasana. Ia satu pengalaman visual dan emosi,” kata pengusaha Panorama Hillstay, Wan Mohamad Nor Ariff Wan Yusuf kepada MalaysiaAktif, baru-baru ini.
Selain kemudahan glamping, Panorama Hillstay juga menjadi lokasi pilihan bagi aktiviti luar seperti barbeku atau BBQ, unggun api malam, sesi meditasi serta bengkel mini yang sesuai untuk komuniti atau organisasi kecil.
Suasananya yang tenang dan angin bukit yang sejuk turut menjadikan lokasi ini sesuai untuk sesi refleksi diri dan terapi semula jadi.
Panorama Hillstay menerima tempahan terutamanya melalui media sosial seperti TikTok dan WhatsApp, menjadikan ia mudah diakses oleh pelancong tempatan. Nombor perhubungan seperti 012-5055757 sering dikongsikan dalam video pengunjung yang memaparkan pengalaman mereka.

Suasana di Hillstay Napoh.
Tinjauan di media sosial menunjukkan rata-rata pengunjung memberikan maklum balas positif terhadap kebersihan tempat, keramahan staf, serta suasana yang menyegarkan.
“Tempat ini sangat cantik dan sesuai untuk tenangkan fikiran. Matahari terbenam di sini memang luar biasa,” kata seorang pelawat dalam ulasan di TikTok.
Kejayaan Panorama Hillstay turut membuka ruang kepada pembangunan pelancongan komuniti di sekitar Napoh, dengan beberapa penduduk tempatan mula menceburi industri pelancongan secara kecil-kecilan melalui jualan makanan tradisional, aktiviti agropelancongan, dan homestay bercirikan kampung.
-RI





