
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Mohammad Ezwandi (Perak)
TELUK INTAN, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Majlis Pra Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Dataran Menara Condong, di sini kelmarin, disambut meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Nyanyian lagu Jalur Gemilang
Majlis yang juga kesinambungan kepada peluncuran peringkat kebangsaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu itu bagi meneruskan iltizam menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Steven Chaw Kam Foon berkata kempen kibar Jalur Gemilang bukan sekadar acara simbolik tetapi merupakan satu manifestasi semangat kebangsaan, simbol kesatuan dan lambang kedaulatan negara.
“Jalur Gemilang perlu dikibarkan bukan hanya di bangunan kerajaan atau premis perniagaan namun apa yang lebih penting, ia perlu berada di hati setiap rakyat Malaysia,” ujarnya ketika berucap merasmikan program.

Steven Chaw ketika menandatangani Buku Konvoi KMJG
Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak Ahmad Idris Ahmad Saipul Bahri berkata penganjuran program sebegitu amat istimewa kerana ianya sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada tanah air.
“Program seperti ini membuktikan bahawa kerajaan begitu komited menyantuni rakyat, merapatkan jurang dan mendekati komuniti sehingga ke peringkat akar umbi seiring dengan usaha membina sebuah negara bangsa yang inklusif, progresif dan sejahtera,” ujarnya.
Pelbagai pengisian turut diadakan termasuk pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), Fun Walk Jalur Gemilang, aktiviti interaktif trak Wellness on Wheels (WOW), saringan dan pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak dan Jualan Rahmah MADANI.
-AA-





