Skip to main content
Berita TempatanSabah

Belangkas Curi Tumpuan Pengunjung di HPPNK Sabah

By 4 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Keunikan spesies laut bernama belangkas atau nama saintifiknya tachypleus gigas menjadi antara tarikan utama dalam program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Wan Husmi kelihatan teruja sambil mengangkat seekor belangkas ketika mengunjungi pameran hidupan laut di HPPNK 2025 di SICC, Kota Kinabalu, semalam.

Ribuan pengunjung yang hadir ke HPPNK akan singgah ke kolam belangkas termasuk Wan Husmi Wan Said, 53, dari Kuala Lumpur yang menyifatkan pengalaman melihat belangkas bersaiz besar secara langsung merupakan sesuatu yang baharu dan mengujakan.

“Ini pertama kali saya tengok belangkas yang besar macam ini. Biasanya kita nampak yang kecil pun jarang, itu pun di restoran makanan laut tertentu. Di pasar biasa memang tak ada.

“Penganjuran pameran seumpama ini amat baik kerana ia mengetengahkan hidupan laut unik seperti belangkas yang memberi peluang kepada orang ramai, khususnya kanak-kanak, untuk mengenali lebih dekat haiwan yang jarang dilihat itu.

Leo (dua dari kiri) bersama keluarganya turut hadir memeriahkan program, teruja melihat belangkas buat kali pertama.

“Budak-budak pun mungkin tak pernah tengok langsung. Bila pamer macam ini, semua orang boleh belajar dan kenal,” kongsinya ketika ditemui pada program tersebut, pada Ahad.

Sementara itu, Leo Lionel Betren, 10, yang hadir bersama keluarganya, turut teruja melihat belangkas secara dekat buat kali pertama.

“Saya tidak pernah nampak sebelum ni. Tadi bila tengok dari dekat, saya rasa teruja sangat sebab bentuk dia lain daripada haiwan laut yang saya biasa lihat. Saya mahu ajak kawan-kawan juga datang tengok.

Belangkas haiwan laut yang jarang dilihat turut dipamerkan dalam HPPNK 2025 dan seterusnya menjadi tumpuan pengunjung.

“Saya gembira datang ke sini sebab ada banyak benda menarik. Ini kali pertama saya tengok belangkas, dan saya harap program macam ni diadakan lagi supaya kami, budak-budak, boleh belajar tentang hidupan laut yang unik,” ujarnya.

 

-RJ-

Tinggalkan komen anda