
Laporan/foto: Norlia Mili / Wirwan Nor Rama Maliana (Sarawak)
KUCHING, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Jalur Gemilang yang merupakan simbol kedaulatan sebuah negara merdeka wajib dihormati oleh rakyat negara ini dan mengibarkan bendera itu juga adalah tanda penghargaan kepada pengorbanan pejuang kemerdekaan serta memperingati sejarah negara.

Abdullah Saidol melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025
Bertepatan dengan itu, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menganjurkan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dan Karnival Kita Madani Peringkat Sarawak 2025 yang berlangsung penuh semangat patriotisme, dihadiri sekitar 200 peserta di Kompleks Sukan Satok, semalam.
“Bendera ini adalah wajah kita, jika terjatuh di tepi jalan, angkatlah, itulah maruah kita,” Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata demikian dalam ucapan perasmiannya.
Tambah beliau lagi, semangat patriotik pula bukan sekadar laungan tetapi penghayatan dan amalan atau tindakan yang bertepatan dengan semangat membabitkan semua pihak.

Muhammad Najmi menyampaikan ucapan beliau.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN, Muhammad Najmi Mustapha pula mengajak rakyat menyemarakkan kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’, dengan memastikan bendera itu sentiasa berkibar.
“Setiap rakyat harus mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kediaman, bangunan serta kawasan kejiranan masing-masing dan paling utama, pastikan bendera yang dikibarkan berada dalam keadaan sempurna, tidak koyak, uzur atau lusuh sebagai tanda penghormatan kepada simbol kedaulatan negara,” katanya.
Menurut Najmi, tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, membawa mesej penting bahawa pembangunan negara perlu berpaksikan keprihatinan terhadap rakyat pelbagai kaum dan agama.

(Dari kiri) Nur Anis Alissya, Ikmal dan Ignatious menerima hadiah kemenangan Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan.
Ikmal Hazim Hadanan, 16, dari pasukan yang menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Sarawak dari Sekolah Seni Malaysia Sarawak turut berasa bangga kerana julung kali dapat berpeluang menghadiri program tersebut.
Beliau berkata sebagai generasi muda, mereka sepasukan berbangga dapat menzahirkan semangat kecintaan kepada Malaysia dan Sarawak melalui bakat seni yang ada pada mereka.
-RJ-





