
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 5 Ogos (MalaysiaAktif) – Stadium Darul Makmur, di sini kini bertaraf antarabangsa apabila padangnya diiktiraf sebagai padang rumput semula jadi pertama di Malaysia yang menerima pensijilan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Program Kualiti FIFA bagi Permukaan Padang Semula Jadi.

Wan Rosdy beramah mesra dengan pemain cilik yang menjadi kumpulan pertama berlatih di padang baharu itu.
Menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pensijilan itu diperoleh setelah satu proses penilaian teknikal yang komprehensif dijalankan oleh konsultan yang dilantik FIFA iaitu Acousto Scan Pty Ltd pada 23 dan 24 April yang lalu.
“Hasil daripada penilaian tersebut, padang ini telah menerima penarafan Excellent dengan markah keseluruhan sebanyak 93 peratus.
“Padang ini mula dinaik taraf pada September 2024 dengan peruntukan keseluruhan RM1.6 juta di mana RM1.1 juta merupakan peruntukan daripada Kerajaan Negeri, manakala RM500,000 ringgit merupakan peruntukan KerajaanPersekutuan,” katanya di sini kelmarin.

Peserta Klinik Bola Sepak Bawah 12 Tahun (U12) Negeri Pahang.
Tambah Wan Rosdy lagi, pengiktirafan itu membuktikan padang tersebut menepati piawaian antarabangsa yang sangat ketat sekali gus menjadikannya setanding padang bola sepak utama dunia.
“Pengiktirafan ini juga amat penting kerana padang yang berkualiti tinggi mampu mengurangkan risiko kecederaan dan meningkatkan prestasi atlet semasa bertanding.
“Dengan pensijilan FIFA ini, Stadium Darul Makmur kini bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada acara-acara sukan bertaraf antarabangsa, seterusnya menjadikan Pahang sebagai destinasi utama dalam kalendar sukan negara dan serantau,” katanya.
-RI





