
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KSOPH
LABUAN, 5 Ogos (MalaysiaAktif) – Pertandingan Silat Seni 2025 anjuran Kelab Silat Olahraga Pusaka Harimau (KSOPH) mampu memartabatkan salah satu warisan bangsa yang semakin dilupakan masyarakat.

Langkah ‘Orang Lama’ masih berbisa dalam kategori Mandung – Mandung Pendeta.
Menurut Presiden KSOPH Azry Amat pertandingan itu bertujuan memperkukuh jati diri dan menyemai semangat kepahlawanan dalam jiwa generasi muda.
“Penganjuran acara ini bukan sahaja mengangkat silat sebagai seni mempertahankan diri, malah menjadi medium penyatuan masyarakat pelbagai kaum dalam menghargai budaya Melayu yang penuh nilai dan disiplin. Pertandingan yang berlangsung selama dua hari ini disertai lebih 120 pesilat dari 12 perguruan silat sekitar Labuan, Sabah dan Sarawak terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
“Setiap peserta mempersembahkan gerak seni silat dengan penuh bersemangat, mempamerkan kemahiran, ketangkasan dan kehalusan seni tempur warisan yang sangat membanggakan,” katanya ketika ditemui pada pertandingan itu, di sini semalam.

Aksi bagi Kategori Massal 7 hingga 10 tahun.
Tambahnya, antara kategori yang dipertandingkan adalah Solo Kreatif, Massal Atau Berkumpulan, Seni Tempur dan Mandung-Mandung Pendeta.
“Antara perguruan yang menyertai pertandingan kali ini seperti Cengkaman Harimau Beaufort Sabah, Kelab Silat Olahraga (KSO) Sepasang Asli Beaufort Sabah, KSO Fattani Apin2 Keningau Sabah, KSO Fattani Apin2 Keningau, Wira Tempur Sipitang Sabah, Gayong Fattani Kebangsaan Malaysia, Sendeng Malaysia dan Srikandi Tun Fatimah,” jelasnya.
-RI





