Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kerjasama Agensi Penting Sebarkan Taktik Penipuan Dalam Talian

By 7 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kota Setar)

KOTA SETAR, 7 Ogos (MalaysiaAktif) – Usaha memberi maklumat dan kefahaman berkaitan pembanterasan jenayah siber perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan dan penguat kuasa.

Sesi menandatangani buku lawatan di IPD Kota Setar.

“Kerjasama antara agensi kerajaan seperti Pejabat Penerangan amat penting dalam memperluaskan penyebaran maklumat kepada masyarakat, terutamanya dalam meningkatkan kesedaran mengenai taktik-taktik penipuan dalam talian,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt. Hilmi Ahmad.

Menurutnya, golongan pesara kerajaan antara yang paling terkesan dan sering menjadi mangsa sindiket penipuan.

“Jumlah kerugian yang direkodkan di daerah Kota Setar setakat ini hampir mencecah RM11 juta,” katanya ketika menerima kunjungan Pejabat Penerangan Daerah Kota Setar sempena pelaksanaan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, di sini pagi tadi.

Sesi bergambar sempena kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.

Kunjungan bertujuan menyerahkan Jalur Gemilang kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu sebagai simbol sokongan dan komitmen dalam mengukuhkan semangat cinta akan negara bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan rakyat.

Inisiatif itu turut membuka ruang bagi mempererat jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi.

Dalam sesi lawatan tersebut, pelbagai isu turut dibincangkan termasuk perkembangan semasa yang berkait rapat dengan keselamatan masyarakat dan peningkatan kes jenayah penipuan dalam talian.

-RI

Tinggalkan komen anda