Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Ahli Komuniti MADANI Kapit Diperkasa Jadi Jurulatih Keselamatan Internet

By 7 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Daniel Jong (Kapit) (Sarawak)

KAPIT, 7 Ogos (MalaysiaAktif) – Dalam usaha memperkasa literasi digital dan keselamatan siber dalam kalangan rakyat luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cawangan Sibu dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kapit menganjurkan “Training of Trainer (TOT) Kempen Internet Selamat (KIS)” sempena Slot Khas Komuniti MADANI bersama NADI di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Kapit, di sini, semalam.

Michael menyampaikan ucapan singkat ketika program.

Program ini menyasarkan ahli komuniti MADANI sebagai jurulatih akar umbi yang berperanan menyampaikan ilmu serta menyemai kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab.

Pegawai Penerangan Daerah Kapit Michael Sabek, dalam ucapannya berkata usaha membudayakan keselamatan siber bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata malah memerlukan kerjasama seluruh lapisan masyarakat.

“Ilmu ini harus dikongsi dan disebarkan oleh ahli komuniti supaya mereka menjadi agen perubahan dalam mendidik masyarakat selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI,” katanya lagi.

Tumpuan penuh diberikan peserta program terhadap ceramah oleh pihak MCMC.

Salah seorang peserta, Monica Bansa, 61 dari Komuniti MADANI Nanga Semulong, menyatakan rasa puas hati terhadap pendekatan program yang mudah difahami walaupun bagi mereka yang berusia dan kurang berpengetahuan dalam bidang teknologi.

“Saya bukan orang IT, tetapi penerangan yang disampaikan amat mudah difahami malah saya kini lebih yakin untuk berkongsi maklumat ini dengan penduduk kampung agar mereka lebih peka tentang keselamatan internet,” ujar Monica.

Radin menyampaikan ceramah kepada peserta program.

Sesi ceramah disampaikan oleh Timbalan Pengarah MCMC Cawangan Sibu Radin Blayong yang menerangkan isu-isu semasa berkaitan jenayah siber, penipuan dalam talian, buli siber serta kepentingan privasi dan keselamatan data.

Kesemua sembilan Komuniti MADANI di Kapit hadir dalam program tersebut, mencerminkan kesungguhan mereka untuk turut serta dalam usaha kerajaan mendepani cabaran dunia digital masa kini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda