Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Kesedaran Kesihatan Mental: Komuniti Perlu Lebih Peka

By 9 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Syuhada Muhamad Yasin/Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)

ALOR SETAR, 9 Ogos (MalaysiaAktif) – Kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat, namun masih banyak stigma dan salah faham yang perlu diperbetulkan.

Fazlan sedang memberi taklimat tentang kesedaran kesihatan mental.

Pegawai Psikologi (Kaunseling) dari Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar Fazlan Syahidi menegaskan bahawa peranan komuniti sangat penting dalam menyokong individu yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental.

“Kadang-kadang, mereka yang mengalami tekanan atau kemurungan hanya mahukan seseorang yang sudi mendengar masalah mereka. Bukan semua orang memerlukan nasihat atau solusi segera.

“Malah, memberi nasihat tanpa diminta boleh membuat mereka berasa tidak difahami,” katanya ketika memberi taklimat dalam program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai bagi Komuniti MADANI Limbong di Vistana Indah, Langgar, di sini semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa stigma dan mitos masih menyelubungi pesakit mental, antaranya tanggapan bahawa mereka ‘lemah’ atau ‘tidak waras’ dan juga tidak boleh dipercayai untuk bekerja seperti orang lain.

Persepsi sebegini, katanya, boleh menghalang pesakit daripada mendapatkan rawatan dan menyukarkan proses pemulihan.

“Kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Jika kita boleh menerima pesakit diabetes atau darah tinggi tanpa prejudis, kita juga harus menerima pesakit kemurungan atau keresahan dengan sikap yang sama,” katanya.

Sesi soal jawab tentang kesedaran kesihatan mental.

Fazlan menggesa komuniti untuk memainkan peranan sebagai pendengar yang empati, menghapuskan stigma dan menggalakkan ahli keluarga atau rakan yang terkesan untuk mendapatkan bantuan profesional.

Sokongan moral daripada orang terdekat, katanya sering menjadi langkah awal kepada proses pemulihan yang lebih berkesan.

-RI

Tinggalkan komen anda