
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau))
TAWAU, 14 Ogos (MalaysiaAktif) – Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 diteruskan di negeri Sabah bagi menyemarakkan semangat cintakan negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah ini membawa misi menjelajah seluruh negeri meliputi kira-kira 2,500 kilometer dengan 75 lokasi persinggahan, sebagai usaha memperkukuh semangat patriotisme rakyat, termasuk bersempena Hari Sabah.

Nizam berucap ketika menyempurnakan majlis perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN N.68 Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kembara ini adalah simbol perpaduan dan tekad rakyat untuk terus mempertahankan kedaulatan negara.
“Kita berharap semua lapisan masyarakat melihat program ini sebagai ruang bermuhasabah, memperbaharui tekad dan azam demi memastikan negeri serta negara terus sejahtera, harmoni dan saling menghormati. Saya menyeru rakyat mencontohi semangat patriotisme negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang secara sukarela mengibarkan bendera ketika musim kemerdekaan.
“Kalau kita menganggap diri ini anak Malaysia, maka kita harus mengutamakan kecintaan kepada negara dengan menaikkan bendera sebagai tanda kasih dan bangga terhadap tanah air,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor, menjelaskan jelajah KMJG tahun ini selaras dengan tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, yang memberi tumpuan bukan sahaja di kawasan bandar, malah meliputi pedalaman dan pulau-pulau.

Nizam (tengah), Jainisah bersama menyanyikan lagu patriotik bersama hadirin memeriahkan suasana program.
“Tahun ini kita ada 75 checkpoint (titik semakan). Setakat ini baru 20 lebih lokasi yang disinggahi dan akan diteruskan mengikut perancangan. Kami ingin menyantuni seramai mungkin rakyat agar semangat kebangsaan terus segar, bukan hanya pada bulan kebangsaan, tetapi sepanjang masa.
“Lebih 15 agensi termasuk pasukan beruniform terlibat dalam konvoi dengan purata 20 kenderaan di setiap lokasi, sambil membawa Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai simbol kecintaan kepada tanah air,” ujarnya.
Konvoi KMJG 2025 dijadual meneruskan perjalanan ke daerah-daerah seterusnya dan dijangka berakhir pada 23 Ogos di Kota Kinabalu.
-RJ-





