
Laporan/foto: Mohammad Abd Rahman/Wirwan Nor Rama (Sarawak)
MIRI, 14 Ogos (MalaysiaAktif) – Bersempena dengan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang, program kolaboratif Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Negeri Sarawak dan Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo merupakan antara platform memperkukuh perpaduan dan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat sekitar Miri.

Arifin berucap merasmikan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Miri dan Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo.
Program yang dirasmikan Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Arifin Mohammad itu juga menerapkan gaya hidup sihat bukan sahaja kepada peserta konvoi dan kayuhan tetapi turut melibatkan masyarakat yang hadir pada program.
“Konvoi KMJG Sarawak menerapkan semangat patriotisme dan cintakan negara melalui Kempen Kibar Jalur Gemilang, bertepatan dengan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 malah turut menerapkan elemen perpaduan.
“Apa yang menariknya semangat patriotisme ini ditunjukkan melalui program jelajah kayuhan basikal Borneo yang bermula dari Kudat, Sabah dan kini tiba di Miri Sarawak, membawa pelbagai program dilaksanakan di lokasi persinggahan ini melibatkan agensi kerajaan, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan komuniti setempat,” katanya dalam ucapan perasmian program di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, di sini kelmarin.

Persembahan Pentarama X Kelab Malaysiaku di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang.
Pelbagai aktiviti sampingan diadakan antaranya persembahan PENTARAMA X Kelab Malaysiaku dan Kuiz PENTARAMA termasuk berkumandangnya lagu Jalur Gemilang yang menghangatkan suasana dewan membabitkan lebih 800 pelajar dan guru.
Program kemudiannya diteruskan dengan perlepasan Konvoi KMJG diketuai Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak Adilatul Hasif Nasah bersama peserta Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borne dalam keadaan hujan lebat.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Nadi Sihat Malaysia Azlina Aziz dan Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Jumari Hashim.
-RJ-





