
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Reset Health hari ini melancarkan Platform Roxanne Universal, satu penyelesaian digital menyeluruh bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCDs) termasuk obesiti dan diabetes.

Dr Dzulkefly kelihatan meninjau kaunter saringan kesihatan percuma yang disediakan kepada orang ramai.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kerjasama strategik itu dimeterai sejak September 2024 di Guy’s Hospital, London bersama Reset Health yang turut bekerjasama dengan National Health Service (NHS) United Kingdom.
“Program ini memberi tumpuan kepada cabaran obesiti dan diabetes melalui pendekatan digital bermula saringan sehingga rawatan, termasuk intervensi terapeutik menggunakan ubat moden seperti Ozempic,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran di sini.
Pada majlis sama, turut dimeterai Memorandum Kerjasama antara Reset Academy of Metabolic Sciences dan Academy of Medicine Malaysia bagi memperkukuh latihan profesional kesihatan dalam pengurusan obesiti dan berat badan berlebihan.
Dr Dzulkefly, berkata tema program tahun ini ‘Healthy Parents, Healthy Children‘ menekankan peranan ibu bapa dalam melahirkan keluarga sihat dan mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan generasi muda.
Mengulas mengenai data semasa, beliau berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan 15.6 peratus rakyat Malaysia menghidap diabetes, manakala prevalens di Selangor adalah 11.7 peratus.
“Secara keseluruhan, 54.4 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes.

Pengunjung yang menyertai permainan yang disediakan sempena pihak penganjur.
“Di peringkat nasional, 32.6 peratus adalah berlebihan berat badan dan 21.8 peratus obes sementara Selangor pula mencatatkan 34 peratus berlebihan berat badan dan 19.1 peratus obes,” jelasnya.
Tambahnya, pengidap hipertensi di Malaysia merekodkan 29.2 peratus berbanding 23.1 peratus di Selangor.
-RI





