
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 17 Ogos (MalaysiaAktif) – Masyarakat luar bandar berperanan sebagai ejen penyebar maklumat yang tepat dan sahih termasuk membantu pihak kerajaan menangani berita palsu yang boleh mengusarkan komuniti terutamanya jika sesuatu isu atau maklumat tidak diurus dengan baik.

Komuniti MADANI Kampung Peros mengikuti sesi pembelajaran bersama NADI Krokong yang dikendalikan oleh Leonargo.
Pada masa sama, setiap golongan masyarakat perlu didedahkan dengan literasi digital bagi membolehkan penguasaan teknologi tersebut membantu proses penerimaan dan penyaluran makluma yang sahih.
Ini dinyatakan oleh Ketua Komuniti MADANI Kampung Peros Sata Najoi, 60, dalam ucapannya semasa program Program Slot Khas Komuniti MADANI X NADI di NADI Krokong, kelmarin.

Pegawai Penerangan Daerah Bau Sumardi Sugiman menyampaikan ceramah berkaitan inisiatif kerajaan dan isu-isu semasa kepada peserta.
“Program yang dianjurkan bersama Pejabat Penerangan Daerah Bau, NADI Krokong dan Komuniti MADANI Kampung Peros sangat penting kerana program ini adalah platform kepada kami di sini mempelajari beberapa perkara yang memberi impak positif dalam kehidupan harian khususnya berkaitan Kempen Internet Selamat yang giat dijalankan oleh Kementerian Komunikasi pada masa kini,” katanya.
Program tersebut melibatkan ahli Komuniti MADANI Kampung Peros, sebuah perkampungan Bidayuh di Bau memberi fokus kepada pendedahan dan penekanan kepada peserta tentang amalan penggunan Internet selamat yang perlu diamalkan oleh komuniti dalam kehidupan harian mereka.

Sesi soal jawab interaktif bersama Sumardi bagi membantu komuniti mendapatkan maklumat sahih dan tepat berkaitan inisiatif kerajaan dan isu-isu semasa.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus NADI Krokong Leonargo Garcia Satun, 29, menyifatkan jalinan kerjasama antara Komuniti MADANI Kampung Peros dan Pejabat Penerangan Daerah Bau telah membantu NADI Krokong menyebarluas perkhidmatan yang ditawarkan NADI untuk diketahui penduduk di sekitar kawasan tersebut.
“Kerjasama yang konsisten dan padu sebegini juga membantu kesejahteraan komuniti di sini dengan mempelajari pelbagai perkara termasuk bidang keusahawan.
“Peserta program bukan sahaja didedahkan dengan maklumat literasi digital malahan program ini juga membantu penduduk mendapat maklumat yang sahih berkaitan inisiatif kerajaan dan isu-isu semasa menerusi sesi ceramah dan soal jawab interaktif bersama pegawai Pejabat Penerangan Daerah Bau,” kata Leonargo.
-RJ-






