Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Gaya Hidup Sihat, Pemangkin Agenda MADANI

By 18 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 18 Ogos (MalaysiaAktif) — Lebih 2,500 peserta memeriahkan Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) 2025 dan JB Neon yang berlangsung dengan sambutan amat memberangsangkan, khususnya daripada kalangan penjawat awam, bertemakan ‘Gaya Hidup Sihat, Pemangkin Agenda MADANI’.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (tengah) tiba di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan telah disambut oleh tetamu kehormat dan para peserta larian

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata penganjuran larian itu mendapat penyertaan penjawat awam serta orang ramai, selain menerima sokongan Kerajaan Johor dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Acara ini bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya Larian MAPPA XX Tahun 2025 Wilayah Selatan dan JB Neon menjadi simbol iltizam penjawat awam serta masyarakat untuk kekal sihat, aktif dan berminda cergas demi masa depan negara yang lebih mampan, di samping memastikan kesejahteraan fizikal dan mental melalui keseronokan bekerja seharian di pejabat,” katanya.

Beliau berkata acara itu juga menjadi medan mengangkat aspirasi nasional melalui penyertaan penjawat awam, industri swasta dan komuniti setempat dalam memupuk nilai kesihatan, kebersamaan dan patriotisme selari dengan Malaysia MADANI serta Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

Peserta yang terdiri daripada penjawat awam dan orang ramai turut tidak melepaskan peluang untuk menyertai Larian MAPPA XX Tahun 2025 dan JB Neon dengan pelbagai kategori larian iaitu 1.5 kilometer, 3 kilometer dan 5 kilometer

“Kolaborasi merentasi agensi dan sektor industri ini mewujudkan sinergi yang kukuh dalam mempererat kerjasama strategik serta menggalakkan interaksi sihat antara kerajaan dan rakyat, seiring perjalanan transformasi menuju negara maju,” katanya yang turut menghadiri larian berkenaan di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini kelmarin.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail, Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff dan Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman.

-AA-

Tinggalkan komen anda