
Laporan/foto: Anuar Che Amat
PADANG BESAR, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Perlis Connect bukan sekadar inisiatif infrastruktur, malah merangkumi elemen pendidikan, kesedaran digital dan pembinaan kepercayaan dalam kalangan rakyat.

Raja Muda Perlis berkenan melawat reruai pameran yang disediakan.
Program sehari anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) disempurnakan perasmian oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertempat di Padang Besar Street, di sini semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa ketika berucap di Majlis Perasmian Perlis Connect, berkata antara pengisian menarik Perlis Connect termasuk perkongsian mengenai Kempen Internet Selamat (KIS) oleh MCMC dan demonstrasi aplikasi MCMC NEXUS.
“Kementerian Komunikasi sentiasa cakna dan mengambil berat untuk memastikan bahawa tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan dalam arus transformasi negara tanpa mengira lokasi geografi, peringkat usia mahupun latar sosioekonomi.
“Untuk itu, pelbagai inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut,” ujarnya.
Tambah Fauzi lagi, inisiatif NADI baru-baru ini telah menerima anugerah WSIS Prizes 2025 di Geneva dalam kategori Capacity Building dan ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan Malaysia dalam memperkasa komuniti mendapat pengiktirafan global dan memberi impak sebenar.

Jualan oleh para usahawan turut diadakan.
“Pengiktirafan ini turut memperlihatkan bagaimana inisiatif NADI memberi impak sebenar di peringkat komuniti.
“Di Perlis, pelaksanaan program di pusat-pusat NADI seperti latihan dan bimbingan keusahawanan telah membuka jendela peluang kepada komuniti luar bandar untuk turut maju bersama dalam arus global,” ujarnya.
Antara intipati pengisian program ialah sesi perkongsian kisah kejayaan usahawan NADI, sesi taklimat kepada pengguna mengenai perayauan (roaming), pameran dan jualan usahawan NADI serta kaunter Aduan MCMC.
-RI






