Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program Pembangunan Komuniti Perkasa Wanita Sungai Gaat Melalui Kemahiran Kraftangan

By 18 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Daniel Jong/ Budin Gumbang (Sarawak)

KAPIT, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Seramai 60 wanita dari komuniti Sungai Gaat menyertai Program Pembangunan Komuniti Sungai Gaat melalui Kemahiran Kraftangan di Kompleks Kerajaan Negeri (KKN) Bahagian Kapit, kelmarin.

Nicholas (tiga kiri) dan Mohd Yusri (empat kiri) meninjau hasil kerja peserta program.

Program julung kali diadakan hasil kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Sarawak itu memberi tumpuan kepada pembuatan manik loom dan tenunan pua kumbu bagi memperkasakan wanita luar bandar untuk menjana pendapatan, memelihara warisan budaya, serta meningkatkan daya saing kraftangan tempatan di pasaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Nicholas Kudi Jantai dalam ucapan perasmiannya berkata inisiatif itu mampu menambah pengetahuan peserta baharu dalam bidang tenunan tradisional Iban di samping membuka peluang pemasaran ke pasaran yang lebih meluas.

Bintang berpengalaman dan mahir membuat manik dan tenunan pua kumbu.

“Saya yakin melalui kemahiran yang betul dan sokongan pasaran, kraftangan kita bukan setakat pasaran tempatan malah berkemampuan menembusi pasaran Semenanjung Malaysia dan luar negara,” katanya.

Seorang peserta, Bintang Unyah, 51, berkata beliau gembira dapat berkongsi kemahiran pembuatan manik dan tenunan pua kumbu bersama peserta lain dan berharap mereka tidak mudah berputus asa kerana pengalaman dirinya sendiri membuktikan hasil kraftangan mampu dikomersialkan hingga ke luar negeri.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohd Yusri Mohd Yusuff dan Ketua Pengarah PKKM Datuk Ainu Sham Ramli.

-RJ-

Tinggalkan komen anda