
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 20 Ogos (MalaysiaAktif) – Johor Bahru bakal melakar lonjakan baharu dalam landskap pembangunan bandar apabila Fasa 3 projek One Bukit Senyum bernilai RM2.1 bilion dilancarkan, semalam.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Astaka Padu Sdn. Bhd. dan CapitaLand Investment Limited, salah satu kumpulan hartanah terkemuka Asia itu disaksikan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di One Bukit Senyum, di sini.

Onn Hafiz, berkata One Bukit Senyum bukan sekadar projek hartanah, tetapi satu sinergi antara visi dan pelaksanaan yang akan memperkukuh kedudukan negeri Johor dalam ekonomi global.
Dalam ucapannya, Onn Hafiz berkata pelaksanaan Fasa 3 itu merupakan pemangkin utama menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah bandar gerbang antarabangsa yang lebih berdaya saing di rantau ini.
“Pembangunan ikonik ini bukan sahaja mengangkat Bukit Senyum sebagai Daerah Perniagaan Pusat (Central Business District) baharu, malah akan merangsang ekonomi negeri melalui peningkatan hasil pelancongan, penciptaan peluang pekerjaan serta pengukuhan kedudukan Johor Bahru dalam ekonomi global,” katanya.
Fasa 3 One Bukit Senyum bakal menampilkan sebuah pusat beli-belah utama yang direka untuk menarik pengunjung dari seluruh rantau, di samping sebuah hotel antarabangsa bertaraf enam bintang bagi memenuhi keperluan pelancongan dan perniagaan.
Pembangunan berkenaan turut merangkumi kediaman berjenama eksklusif yang dijangka menjadi penanda aras baharu gaya hidup moden di Johor serta sebuah hab kulinari tersusun yang menggabungkan keunikan warisan gastronomi negeri dengan pilihan citarasa antarabangsa.

Fasa 3 One Bukit Senyum bakal menampilkan sebuah pusat beli-belah utama yang direka untuk menarik pengunjung dari seluruh rantau, di samping sebuah hotel antarabangsa bertaraf enam bintang.
Onn Hafiz berkata kerjasama antara Astaka Padu dan CapitaLand Investment membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Johor.
“Ini bukan sekadar projek hartanah, tetapi satu sinergi antara visi dan pelaksanaan yang akan memperkukuh kedudukan negeri ini dalam ekonomi global,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Asman Shah Abd. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han dan Penasihat Ekonomi Negeri Johor Datuk Ir. Hasni Mohammad.
-RI





