
Laporan/foto: Florinah Lunsin (Kudat)
KUDAT, 23 Ogos (MalaysiaAktif) – Sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat daerah Kudat berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 100 orang daripada enam Tabika Perpaduan di daerah ini, Khamis lepas.
Program berkenaan bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda, di samping menanam rasa cinta akan tanah air sejak di bangku sekolah serta memperkukuh identiti kebangsaan.

Anak-anak Tabika Perpaduan bersama ibu bapa dan guru bergambar kenangan ketika menyambut KMJG Peringkat Daerah Kudat.
Menurut guru pengiring, Rayne Wendy Rosland pertandingan mewarna yang merupakan antara pengisian KMJG mendapat sambutan amat menggalakkan daripada murid dan ibu bapa.
“Semoga lebih banyak program seperti ini diadakan untuk memupuk semangat cintakan negara.
“Aspek penyampaian serta bacaan Rukun Negara juga penting agar kanak-kanak sebagai pelapis bangsa dapat menghayatinya dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini.
Beliau turut menyuarakan harapan agar Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus melaksanakan pelbagai aktiviti melibatkan murid Tabika Perpaduan.

Murid-murid Tabika Perpaduan teruja menyertai pelbagai aktiviti sempena KMJG.
“Aktiviti seperti pertandingan mewarna bertemakan kemerdekaan, pementasan wayang pendek berunsurkan kisah kemerdekaan dengan pendekatan menyeronokkan, serta penyertaan dalam perarakan konvoi Kembara Merdeka,” ujarnya.
Sambutan kali ini turut diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang yang menambahkan suasana ceria dan penuh semangat.
Untuk makluman, konvoi KMJG bermula pada 5 Ogos lalu di Kota Kinabalu dan akan berakhir pada hari ini di Padang Istiadat, Tuaran.
-RJ-






