
Laporan/ foto: Syahrulizan Madian/ Pusat Khidmat Parlimen Mukah (Sarawak)
MUKAH, 23 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Kembara Segulai Sejalai, Kempen Kibar Jalur Gemilang melibatkan penyertaan konvoi bermotosikal memulakan perjalanan dengan penuh semangat patriotik dari Market Tamu Mukah, di sini sebelum singgah di Pekan Sabtu Oya dan Oya Square.

Hanifah mengagihkan Jalur Gemilang kepada salah seorang peniaga.
Program yang berlangsung hari ini diketuai Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib dan diringi 25 buah motosikal berkuasa tinggi menarik perhatian masyarakat setempat yang hadir memberikan sokongan di sepanjang laluan konvoi.
Kembara tersebut merupakan satu inisiatif menyemarakkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan masyarakat menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Selain itu, ia turut melibatkan aktiviti pengedaran poster berkaitan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia serta lebih 2,000 Jalur Gemilang kepada orang ramai di lokasi hentian konvoi, sekali gus memeriahkan suasana sambutan dan menggalakkan penyertaan masyarakat.

Hanifah trut mengagihkan Poster HKHM.
Hanifah dalam ucapannya semasa program menegaskan bahawa kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan yang panjang dan penuh pengorbanan.
“Perjuangan kemerdekaan adalah tanggungjawab semua warga negara dan keamanan yang kita miliki ini perlu dikekalkan atau dipertahankan oleh generasi baharu,” katanya lagi.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Mukah dan Pejabat Penerangan Daerah Mukah itu turut menimbulkan rasa teruja kepada salah seorang peserta, Zulkhairil Ali, 50, yang berharap negara terus dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan.

Pengalaman berharga Mohammad Nizam apabila menyertai kembara tersebut.
Seorang lagi peserta, Mohammad Nizam Abdullah, 51, pula melahirkan rasa gembira kerana berpeluang memperolehi pengalaman berharga apabila terlibat dengan program tersebut.
“Amat bersyukur apabila terlibat dengan kembara ini kerana secara tidak langsung, saya bagaikan bersama rakyat Malaysia seluruh negara memainkan peranan dalam memperkasa semangat cinta negara melalui kempen kibar Jalur Gemilang,” ujarnya.
-RJ-





