
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 24 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan terus mendapat sambutan penduduk apabila diadakan di Kampung Jawa Lanut sempena Program Jiwa Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, di sini, Sabtu lalu.

Rina menyampaikan ucapan perasmian program.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal berkata program itu mendapat sambutan kerana memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Program ini dekat di hati rakyat kerana benar-benar membantu mereka yang memerlukan, khususnya dalam mendapatkan barangan dapur pada harga yang menepati kemampuan ekonomi semasa.

Rina bergambar bersama peserta pertandingan dekorasi kek.
“Jualan Rahmah MADANI bukan sahaja memenuhi keperluan asas rakyat malah mencerminkan kejayaan kerjasama kerajaan dan komuniti dalam melaksanakan inisiatif berteraskan kesejahteraan rakyat.
“Dengan adanya inisiatif ini, beban belanja dapur dapat dikurangkan. Saya percaya program sebegini wajar diperluas ke kampung-kampung lain agar lebih ramai rakyat dapat menikmatinya,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Selain jualan Rahmah, pelbagai acara sampingan turut dianjurkan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, dekorasi kek, kuiz kenegaraan serta demonstrasi memadam kebakaran yang menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
-RJ-





