
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah (Tuaran)
TUARAN, 24 Ogos (MalaysiaAktif) –Bagi Nur Syuhadah Mutamad, 27, titik perubahan hidupnya bermula ketika pandemik COVID-19 apabila terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu menghadapi kesesakan jalan raya dan keletihan berpanjangan.

NNur Syuhadah mempamerkan hasil tanaman hidroponik di Karnival Kita MADANI, membuktikan potensi pertanian moden sebagai kerjaya belia.
“Disebabkan COVID-19, saya terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu menghadapi kesesakan lalu lintas dan keletihan berpanjangan.
Di rumah pula tiada aktiviti, hanya menonton ‘TikTok’ dan ‘YouTube’, lalu minat saya terhadap hidroponik tercetus kerana rumah kami tiada tanah untuk berkebun,” katanya ketika ditemui di Karnival Kita MADANI, Peringkat Negeri Sanah, di sini pada Sabtu.
Bermula secara kecil-kecilan pada tahun 2022, Nur Syuhadah kini menyewa tanah seluas 0.8 hektar di Tamparuli untuk mengusahakan tanaman secara hidroponik antaranya sayuran sawi king, sawi putih, salad, pak choi dan daun sup.
Beliau berkata, tanaman daun sup menjadi tumpuan utama kerana mendapat permintaan tinggi daripada pembeli tetap, termasuk restoran dan pasar sekitar Tuaran, Tamparuli dan Kota Belud.

Daun sup menjadi tanaman utama dengan permintaan tinggi dari restoran dan pasar sekitar Tuaran, Tamparuli dan Kota Belud.
“Untuk daun sup, kami kini mempunyai kira-kira 7,000 pot. Kami merancang untuk menanamnya dalam lima musim berturut-turut supaya setiap minggu terdapat stok. Setiap musim kami bahagikan kira-kira 1,000 pot, dengan setiap pot boleh menghasilkan antara 100 hingga 150 kilogram daun sup.
“Kami akan menghantar bekalan mengikut permintaan pembeli dan ada juga yang datang sendiri ke kebun untuk mengambil stok. Harga jualan ditetapkan sekitar RM12 sekilogram, manakala harga borong boleh mencecah RM10 sekilogram bagi kuantiti lebih besar,” katanya.
Kini usahanya sudah berjalan hampir dua tahun dan turut menerima geran Agropreneur Muda daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membolehkan beliau memperoleh sistem Internet of Things (IoT) bernilai RM20,000 bagi mengautomasikan pembancuhan baja.
“Kalau dulu manual, sekarang sistem IoT ini yang bancuh sendiri ikut ‘setting’. Sangat-sangat memudahkan,” katanya.

Salad segar hasil ladang hidroponik Nur Syuhadah, ditanam bersih tanpa racun.
Nur Syuhadah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan tersebut yang disifatkannya sangat membantu dalam meningkatkan kecekapan operasi kebunnya.
Dengan kaedah pertanian moden itu, beliau dapat menjimatkan masa berbanding bercucuk tanam secara tradisional, selain mampu mengawal kualiti dan kebersihan sayuran.
Menurutnya, pertanian moden seperti hidroponik bukan sahaja sesuai dijadikan sumber pendapatan, malah mampu menjadi kerjaya masa depan yang stabil jika diusahakan dengan tekun.
“Kita boleh buat sendiri kalau ada minat dan usaha. Jangan takut gagal sebab kalau tidak cuba, kita tidak tahu,” kongsinya.
Kisah beliau menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk menceburi bidang pertanian, sekali gus menyumbang kepada kelestarian makanan negara.
-RJ-





