
Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah
BACHOK, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025 berjaya mencatat jualan hampir RM1 juta serta menarik kehadiran lebih 150,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran di Pantai Irama Bachok, di sini.

Jabatan Pertanian Negeri Kelantan muncul sebagai Juara Gerai Pameran Terbaik.
Antara pencapaian signifikan HPPNK 2025 yang berakhir semalam termasuk kejayaan mempamerkan anak lembu betina baka Charolais pertama melalui kaedah permanian beradas di Pusat Reproduksi Bio-Art, selain mengumpulkan lebih 400 kilogram (kg) minyak masak terpakai untuk dikitar semula dengan ganjaran hadiah dan wang tunai.
Sepanjang program, sebanyak 246 ternakan ruminan dipamerkan melibatkan 217 ekor lembu hibrid, 10 ekor lembu pelbagai baka, 10 ekor kambing dan 10 ekor bebiri.
Selain itu, 100kg ikan susu serta 225kg pelbagai spesis ikan air tawar turut diagihkan secara percuma kepada pengunjung.

Antara tanaman dan makanan asas yang berhasil di tanam melalui kaedah dan teknologi terkini bagi memperkukuhkan sekuriti keterjaminan makanan.
HPPNK 2025 turut dimeriahkan dengan pertandingan ternakan, forum pertanian, persembahan kebudayaan serta jualan produk agro tempatan yang mencerminkan aspirasi Kelantan untuk terus menjadi jelapang makanan negara.
Majlis penutup diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan ternakan terbaik serta penghargaan kepada pempamer dan usahawan tani cemerlang.
-RI





