
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
PADANG TERAP, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Suasana di Dewan Kampung Seladang Rebah kembali meriah dengan penganjuran tayangan filem patriotik bertajuk ‘Conquer Lahad Datu’ oleh Komuniti MADANI Kampung Pong Manis, kelmarin.
Lebih menarik, tayangan itu dilakukan secara konsep wayang pacak, satu kaedah hiburan klasik yang pernah sinonim dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) pada era 60-an hingga 80-an.

Kanak-kanak duduk di hadapan layar putih sambil menonton cerita patriotik.
Wayang pacak suatu ketika dahulu menjadi antara medium utama kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat luar bandar.
JAPEN ketika itu akan membawa projektor dan layar putih ke balai raya atau padang kampung, menayangkan filem berbentuk hiburan dan pendidikan termasuk mesej perpaduan, pembangunan, dan patriotisme.
Tradisi ini bukan sekadar hiburan percuma, tetapi juga salah satu cara memupuk semangat kenegaraan dalam kalangan rakyat ketika akses maklumat masih terhad di samping menyelitkan hebahan dasar-dasar kerajaan dan informasi penting lain kepada orang ramai.
Turut diadakan taklimat isu semasa oleh Pegawai Penerangan Daerah Padang Terap Mohd Fiteri Abdul Manap, yang menekankan kepentingan menapis maklumat dan mengelak penyebaran berita palsu yang boleh menggugat keamanan negara.

Kehadiran anak muda dan warga emas di lokasi wayang pacak.
“Aktiviti santai seperti ini diharap dapat memupuk semangat patriotik, selain memperkukuh hubungan silaturahim antara penduduk setempat, selaras dengan tema merdeka pada tahun ini iatu ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’,” katanya.
Lebih 200 orang penduduk sekitar Kampung Seladang Rebah dan kawasan berdekatan di Pedu hadir beramai-ramai, menjadikan suasana lebih meriah.
-RI





