Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tanpa Pengorbanan Perajurit Negara, Nikmat Kemerdekaan dan Keamanan Sukar Dirasai

By 25 Ogos 2025Ogos 27th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Norlia Mili/ Lance Dunstan (Sarawak)

KUCHING, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Kemerdekaan dan keamanan dinikmati rakyat Malaysia hari ini adalah hasil pengorbanan perajurit negara yang sanggup bertarung nyawa demi mempertahankan tanah air dari ancaman keganasan komunis suatu ketika dahulu.

Penyampaian puisi yang membakar semangat patriotisme oleh Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading Khalid Husseine Tuah.

Hakikatnya, nikmat keamanan bukanlah suatu yang mudah dicapai apatah lagi untuk dirasai generasi hari ini jika tanpa pengorbanan tersebut.

Justeru, Program Komuniti UKAS anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memberi makna amat besar kepada veteran polis dan tentera untuk dihargai dan dikenangkan perjuangan mereka.

“Nikmat keamanan melalui kemerdekaan yang kita rasai hari ini ibarat pohon durian yang ditanam nenek moyang kita, hasilnya dinikmati generasi sekarang,” kata Setiausaha Persatuan Bekas Polis Negeri Sarawak, Sub Inspektor (B) Zakaria Harun kepada MalaysiaAktif pada Program Komuniti UKAS 2025 di Tugu Pahlawan, dekat sini, semalam.

Zakaria Harun berkongsi pengalaman mempertahankan negara sempena Program Komuniti UKAS 2025 di sini, semalam.

Zakaria, yang pernah berkhidmat hampir di seluruh Sarawak termasuk menyertai Misi Pengaman di Kemboja juga berkata program tersebut amat baik kerana menyemai semangat keprihatinan terhadap pengorbanan bekas polis dan tentera, khususnya mereka yang berjuang dari era 50-an hingga 90-an.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dalam ucapannya berkata, jasa pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika menentang ancaman pengganas komunis wajar dijadikan iktibar oleh generasi muda.

Datuk Abdullah Saidol menyampaikan ucapan pada Program Komuniti UKAS 2025.

“Keamanan bukan datang bergolek, tetapi lahir daripada perjuangan panjang pasukan keselamatan dan lantaran itu, anak muda mesti memahami nilai sebenar pengorbanan para parajurit,” katanya.

Abdullah turut menegaskan cabaran masa kini tidak lagi berbentuk peperangan bersenjata, sebaliknya hadir dalam bentuk ancaman baharu seperti serangan siber, penyalahgunaan media sosial dan kelekaan masyarakat sendiri.

Penyerahan sumbangan dan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Tugu Pahlawan oleh peserta dari pelbagai agensi kerajaan, persatuan veteran polis dan tentera termasuk badan kebajikan keluarga anggota keselamatan merupakan antara pengisian program.

-RJ-

Tinggalkan komen anda