
Laporan/foto: Iswandi Kassim/ Unit KOMUNIKASI AWAM SARAWAK(UKAS) (Sarawak)
SRI AMAN, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Pengamal media perlu mengekalkan integriti yang tinggi dalam menyampaikan maklumat kerana hanya dengan integriti, keyakinan rakyat terhadap dasar dan pembangunan negara mampu dibina.

Mahra ketika berucap merasmikan program.
Integriti amat penting kerana setiap laporan media akan membentuk persepsi masyarakat, sama ada positif atau negatif terhadap pihak berkuasa dan dasar kerajaan.
“Pengamal media mestilah berintegriti kerana tanpa integriti, laporan yang disiarkan boleh mengundang kekeliruan, menjejaskan imej pihak berwajib dan memberi kesan besar kepada kestabilan sosial dan politik,” Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata demikian ketika berucap merasmikan Simanggang Media Talk 2025 di sini, kelmarin.
Mahra menegaskan bahawa kebebasan media datang bersama tanggungjawab dan sekiranya pengamal media menyalahgunakan kebebasan itu, mereka boleh didakwa mengikut lunas undang-undang, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957 dan undang-undanglain yang berkaitan keselamatan negara.
“Hakikatnya, setiap berita palsu, fitnah atau laporan yang tidak beretika bukan sahaja menjejaskan kredibiliti media malah boleh menimbulkan ketidaktenteraman awam.
“Oleh itu, integriti mesti menjadi benteng utama dalam profesion kewartawanan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengamal media agar tidak terjebak dengan permainan persepsi pihak berkepentingan, khususnya dalam aspek perang saraf yang boleh menjejaskan imej pihak berwajib.
“Bila masyarakat terhubung dengan media, ia bermakna rakyat mendapat maklumat yang tepat dan sahih yang secara tidak langsung akan mengecilkan ruang untuk mempertikai kerajaan secara tidak berasas serta memudahkan menangkis anasir fitnah dan berita palsu,” jelas Mahra.
Beliau menambah, media juga mampu mewujudkan ‘feel good factor’ melalui liputan positif bertujuan membangkitkan semangat masyarakat, namun naratif yang hanya menonjolkan masalah tanpa mengetengahkan penyelesaian boleh membentuk imej negatif.

Wakil Majlis Daerah Sri Aman mengajukan soalan ketika sesi soal jawab.
Dalam dunia tanpa sempadan pula, media kini berperanan sebagai jambatan maklumat untuk ‘connect the unconnected’ iaitu menghubungkan golongan yang sebelum ini terpisah daripada arus maklumat agar turut sama menikmati peluang pembangunan.
Sehubungan itu Mahra, mencadangkan penubuhan Komuniti Media Simanggang sebagai platform menghimpunkan pengamal media tempatan bagi menyelaras dan menyampaikan maklumat pembangunan Bahagian Sri Aman secara lebih tersusun, menyeluruh dan berkesan.
Program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) itu menghimpunkan lebih 30 pengamal media tempatan termasuk Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman Zaidil Ripin, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang, Pengawal Penyiaran RTM Sri Aman Snah Ukong, Pegawai Penerangan Daerah Lubok Antu Juing Ulie dan wakil-wakil jabatan kerajaan yang lain serta pengendali media sosial.
-RJ-






