
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari meninjau operasi kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatik, selain menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan berkenaan, di sini pada Ahad.

Buku lawatan ditandatangani Adly semasa sesi tinjauan operasi kawalan keselamatan di Pulau Sebatik.
Beliau menerima taklimat daripada Timbalan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Brigedier Jeneral Mohamad Ismail Kamaruddin mengenai status operasi di kawasan tanggungjawab pasukan berkenaan sebelum meneruskan tinjauan ke beberapa pos kawalan.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion Ke-14 di Burst Point dan Wallace Bay, Pos Gabungan ATM-PDRM di Kampung Sungai Kuning serta Batu Sempadan Malaysia-Indonesia di Kampung Sungai Melayu.
“Lawatan ini penting untuk melihat secara dekat operasi di lapangan serta cadangan penempatan pos baharu ATM di Pulau Sebatik demi memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan.

Kit sumbangan diserahkan kepada petugas pos kawalan dalam rangka lawatan kerja ke Pulau Sebatik.
“Pertahanan kita bukan hanya di Pulau Sebatik, tetapi seluruh Sabah. Paling utama, ia mesti seiring pembangunan sosioekonomi penduduk setempat supaya kesejahteraan rakyat di perbatasan dapat dijamin,” katanya ketika ditemui.
Selain meninjau operasi, Adly turut bertemu tujuh veteran ATM bersama keluarga mereka di Kampung Sungai Tongkang menerusi Program Peduli Veteran MADANI (PVM) anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM).
Dalam sesi itu, bantuan kebajikan serta sumbangan Rahmah disampaikan kepada mereka yang memerlukan.
“Kebajikan veteran sentiasa diberi perhatian kerana mereka telah banyak berjasa kepada negara,” katanya.

Sumbangan kit kebajikan disampaikan kepada pesara veteran ATM dalam program PVM anjuran JHEV ATM
Lawatan kerja itu dilaksanakan selaras dengan Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara – Cegah Rintang Berpadu di bawah Kertas Putih Pertahanan 2020–2030, yang menekankan kesiapsiagaan mempertahankan kedaulatan negara merangkumi domain darat, maritim, udara dan siber elektromagnetik.
Turut hadir Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Datuk Haji Semaon Marjuki serta Timbalan Komander ESSCOM Brigedier Jeneral Mohamad Ismail Kamaruddin.
-RJ-





