
Laporan/foto: Muhaimin Musa/Azrul Hafiz
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (MalaysiaAktif) – Program PENTARAMA Merdeka@HOHO anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menceriakan suasana ibu kota apabila bas Hop-On Hop-Off (HOHO) yang dihiasi Jalur Gemilang bertukar menjadi pentas bergerak sempena sambutan bulan kebangsaan.

Julina ketika ditemu bual wartawan.
Program yang berlangsung di beberapa lokasi tumpuan seperti Berjaya Times Square, Plaza Sungei Wang dan Pavilion Kuala Lumpur itu menampilkan pelbagai persembahan seni budaya, nyanyian lagu patriotik serta kuiz interaktif bertemakan kenegaraan.
Kehadiran PENTARAMA menarik perhatian pengunjung tempatan dan pelancong asing yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama bas berhias Jalur Gemilang serta menyertai aktiviti yang dianjurkan.

Suasana sekitar program berlangsung.
“Pendekatan bergerak ini merupakan kaedah kreatif mendekatkan mesej kenegaraan kepada masyarakat secara santai namun berkesan, di samping menyemarakkan lagi semangat cintakan negara menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025,” kata Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan, di sini kelmarin.
Program itu turut diisi dengan pengagihan Jalur Gemilang kepada orang ramai sebagai simbol semarak jiwa merdeka di ibu kota.
-RI





