
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 27 Ogos (MalaysiaAktif) – Hampir 2,000 Jalur Gemilang diedarkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang sempena kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, semalam.

Juwairiya melekatkan Jalur Gemilang pada sebuah kenderaan.
Edaran tersebut meliputi persatuan penduduk, komuniti, sekolah, kampung, orang ramai serta kenderaan bagi menggalakkan masyarakat mengibarkan bendera di kediaman, premis dan tempat awam.
Penyelaras DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif itu merupakan usaha berterusan sejak tahun lalu yang berusaha menanam semangat patriotisme serta memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum.
“Ini adalah bentuk kecil perjuangan kita menzahirkan kecintaan kepada negara melalui kibaran Jalur Gemilang.

Kaunter bergerak Pejabat Penyelaras DUN Hulu Kelang sebuah program khidmat masyarakat.
“Kita mahu rakyat berbangga dengan lambang kedaulatan ini dan tidak ada usaha untuk memboikot sambutan kemerdekaan hanya kerana isu tertentu,” katanya ketika ditemui sempena Kaunter Bergerak Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Hulu Kelang di Pasar Malam Taman Melawati, di sini semalam.
Mengulas lanjut, menurutnya kaunter bergerak tersebut pula sebagai sebahagian daripada program ‘outreach’ untuk mendekati masyarakat.
“Melalui kaunter bergerak ini, kita datang sendiri ke kawasan tumpuan orang ramai bagi memudahkan mereka membuat aduan, mendapatkan perhatian terhadap masalah setempat serta mengakses pelbagai khidmat kerajaan negeri,” jelasnya.
-RI





