
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik cadangan penganjur program Malaysia #QuranHour untuk memasukkan acara itu ke dalam kalendar rasmi pelancongan negara.

Zahid menyantuni salah seorang peserta program.
Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada Pelancongan Islamik (Islamic Tourism) yang akan dipromosikan kerajaan bersama beberapa acara dan peristiwa Islam di Malaysia.
“Pihak penganjur telah cadangkan kepada saya untuk tahun-tahun mendatang ianya (Malaysia #QuranHour) dimasukkan di dalam kalendar tourism (pelancongan) atau kalendar tahunan lawatan ke negara ini.
“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pelancongan, insya-Allah akan membawakan (cadangan) ini dan tidak ada masalah yang besar sebenarnya untuk dimasukkan,” katanya kepada media selepas menghadiri program Malaysia #QuranHour di Masjid Negara, Kuala Lumpur, tengah hari tadi.
Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kali ini bertemakan ‘Merdeka Dengan Rasa’ berpandukan Surah Al-Saff, Surah Ali ‘Imran dan Surah Al-Balad yang mengajak seluruh lapisan masyarakat daripada pemimpin, pembina dasar, penjawat awam hingga rakyat untuk menjiwai rasa empati seperti yang dicontohkan oleh para khalifah terdahulu.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan pesanan berkenaan sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang akan disambut oleh seluruh rakyat Malaysia pada Ahad (31 Ogos) ini.
“Kemerdekaan adalah untuk seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak harus melayani perbezaan warna politik, budaya, bangsa atau agama untuk kita tidak bersetuju untuk merayakan kemerdekaan,” katanya.
-RI





